Skip to main content

Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dilantik sebagai Presiden AUSC

KOTA SURABAYA, 7 Disember 2022 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus menerajui arena sukan universiti Asia Tenggara apabila Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dilantik menjadi Presiden Asean University Sports Council (AUSC) untuk tempoh 2023 hingga 2025 pada 5th AUSC General Asembly 2022 yang berlangsung di Hotel Doubletree By Hilton di Kota Surabaya, Jawa Timur, Indonesia.

Beliau yang turut berperanan sebagai Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) kini berperanan lebih luas iaitu untuk memastikan program pembangunan sukan universiti Asia Tenggara berkembang selari dengan arus semasa pembangunan sukan universiti dunia. 

Turut hadir pada mesyuarat dan majlis pelantikan tersebut ialah Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP yang juga merupakan Setiausaha Agung MASUM, Mohd Aznorizamin  Haji Ismail.

Sebelum itu, Mesyuarat AUSC Ke-32 telah diadakan pada sebelah pagi bagi membincangkan secara terperinci mengenai persiapan tuan rumah, Indonesia bagi penganjuran Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 yang dijadualkan berlangsung di Kota Surabaya dan Kota Malang, Indonesia. 

Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dilantik sebagai Presiden AUSC

Turut diadakan ialah sesi lawatan dan pemeriksaan di beberapa lokasi kejohanan yang bakal berlangsung.

Sementara itu, delegasi UMP yang diketuai oleh TNC (HEPA) itu juga  berpeluang  berkunjung  ke Surabaya untuk mengadakan program kolaborasi bersama Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), Indonesia. 

Program jangka pendek antara kedua-dua buah IPT itu menjurus kepada program bakat-bakat muda dalam kalangan pelajar dengan tema ‘Future Talent Exploration Programme’ yang bertujuan memberi pendedahan dalam melahirkan lebih ramai cendekiawan dan pemikir yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.

Semoga dengan pelantikan ini AUSC, MASUM dan UMP akan terus cemerlang di persada antarabangsa. 

Disediakan oleh Mohd Aznorizamin Haji Ismail, Pusat Sukan Dan Kebudayaan.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News