Skip to main content

Program UniLEEB gilap bakat baharu pentadbir dalam keusahawanan

PEKAN, 11 Mac 2021 - Dalam memperkasa kesinambungan kepimpinan pendidikan tinggi bertaraf global dan berimpak, pendedahan kepada bakat-bakat baharu yang berpotensi perlu digilap bagi memantapkan pengurusan dan penjenamaan institusi pendidikan tinggi.

Merealisasikan hasrat ini, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah menganjurkan program University Leaders Entrepreneurial Educators Bootcamp (UniLEEB) dalam tiga fasa mengikut fokus yang telah ditetapkan dalam bidang keusahawanan.

Menurut Eksekutif Kanan, Pusat Hubungan Antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP), Hazman Abdul, para peserta didedahkan kepada pemahaman asas mengenai seni bina keusahawanan, seni dan ciri yang diperlukan untuk mengembangkan keusahawanan corak pemikiran.

“Kami merupakan peserta Kohort 1 yang dipilih dari universiti awam dan swasta seluruh negara dan kumpulan kami terpilih sebagai tiga kumpulan terbaik yang memenangi geran keusahawanan bernilai RM5,000.00 sebagai permulaan daripada UniLEEB dan AKEPT.

“Fokus modul adalah untuk membangun pemimpin pendidik universiti dengan pemikiran keusahawanan selain membantu para pentadbir universiti untuk mengembangkan dan mengukuhkan keupayaan kepimpinan keusahawanan dengan memberi tumpuan kepada kompetensi kepimpinan,” katanya yang dirai dalam Majlis Apresiasi yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Beliau telah menamatkan tiga modul yang ditetapkan iaitu Membangunkan Minda Usahawan, Perubahan Kepimpinan, dan Inovasi Perniagaan. Beliau menerima pengiktirafan sebagai Certified Entrepreneurial Leader dengan memperoleh Sijil Pemimpin Pendidik Keusahawanan Inovasi yang diperakui, jurulatih Keusahawanan Bertauliah dan Sijil Jurulatih Inovasi Keusahawanan Universiti yang diperakui oleh AKEPT.

Kejayaan ini pastinya akan memberi ruang untuk membangunkan kerangka keusahawanan bersepadu dalam ekosistem TVET di UMP.

Selain itu, beliau juga berpeluang untuk membangunkan minda keusahawanan dalam kalangan pelajar dan membantu universiti dalam memperkasakan program keusahawanan di UMP.

Ia turut memberi peluang peserta mengembangkan bakat keusahawanan dan penjenamaan sendiri.

Seramai 32 orang peserta telah dianugerahkan Certificate of Accomplishment dan ditauliahkan sebagai Certified Entrepreneurial Leader manakala seramai sepuluh orang peserta dianugerahkan Certificate of Completion.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor  (PNC)

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit