Skip to main content

Santai Berbasikal eratkan hubungan keluarga UMP

PEKAN, 20 November 2021 - Program Santai Berbasikal Bersama Keluarga Universiti Malaysia Pahang (UMP) anjuran Pusat Sukan dan Kebudayaan dan Pejabat Naib Canselor (PNC) UMP yang berlangsung baru-baru ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan warga UMP. 

Program menjelang sambutan ke-20 UMP itu juga memberi pendedahan terhadap kepentingan penjagaan kesihatan melalui aktiviti berbasikal di dalam kampus dan sebagai amalan terbaik dalam usaha menyokong agenda penghijauan kampus. 

Kayuhan diketuai oleh Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP bersama pengurusan tertinggi.

Santai Berbasikal eratkan hubungan keluarga UMP

Program itu disertai seramai 120 peserta dalam kalangan staf dan keluarga. 

Program yang berkonsepkan treasure hunt itu bermula dari dataran Pusat Aktiviti Pelajar (PAP) menuju ke Pusat Rekreasi Air dan Rimba Lestari UMP serta sekitar kampus UMP Pekan 

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, amalan teknologi hijau ini juga dapat meminimumkan degradasi terhadap alam sekitar, memulihara tenaga dan sumber semula jadi serta menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

“Menerusi aktiviti kayuhan ini juga ia berjaya mengurangkan penghasilan karbon dioksida sebanyak 1120kgCO2.

“Program beriadah bersama keluarga ini memberi peluang warga UMP menikmati keindahan kampus. 

“Aktiviti dilaksanakan dengan mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Ujar beliau lagi, objektif utama program bukan sahaja aktiviti berbasikal namun yang lebih utama mewujudkan semangat kekitaan di dalam keluarga UMP. 

Kayuhan secara santai itu pasti meninggalkan pengalaman menggembirakan, selain dapat menikmati keindahan dan kedamaian suasana kehijauan kampus.

Lebih bermakna hasil penyertaan yuran program ini akan disumbangkan kepada Yayasan UMP dalam usaha membantu mereka yang memerlukan bantuan. 

Program berbasikal itu juga adalah sebahagian daripada program yang dirangka menjelang sambutan 20 tahun UMP pada tahun depan. 

Santai Berbasikal eratkan hubungan keluarga UMP

Pelbagai aktiviti dirancang bagi mendekatkan universiti bersama komuniti setempat. 

Turut berlangsung acara pelepasan ikan sebagai pembangunan dan pengkayaan sumber serta habitat di samping untuk pemantauan ekosistem di tasik UMP. 

Program itu turut mendapat kerjasama daripada Bahagian Keselamatan (BKES), Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK) dan beberapa jabatan lain. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit