Skip to main content

Sedekad bersama UMP dan HsKA perkukuh kerjasama dalam program Kejuruteraan Jerman

Pekan, 14 Julai 2020 - Menjangkau usia sepuluh tahun jalinan kerjasama akademik antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Karlsruhe University of Applied Sciences (HsKA) yang merupakan antara universiti terbaik di Jerman telah mengembangkan model pendidikan Kejuruteraan Jerman yang bercorak Fachhochschule ke dalam sistem pendidikan di negara ini. 

Menerajui Pendidikan Kejuruteraan, UMP sebagai salah sebuah rangkaian universiti teknikal Malaysia (MTUN) berjaya melahirkan graduan Kejuruteraan yang kompeten bertaraf antarabangsa.   

Menurut  Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, bermula tahun 2010, seramai 135 pelajar UMP telah berjaya menamatkan program kerjasama dual ijazah  membabitkan seramai 79 orang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik manakala seramai 56 orang telah mengikuti program Sarjana Muda Kejuruteraan Automotif. 

“Alumni program UMP-HsKA kini kebanyakannya telah berkhidmat di pelbagai agensi, industri dan syarikat antarabangsa termasuk dalam dan luar negara.

“Kerjasama dengan negara Eropah ini bermula menerusi rundingan UMP dengan Perkhidmatan Pertukaran Akademik Jerman (DAAD) iaitu sebuah agensi kerajaan Jerman yang bertanggungjawab terhadap kerjasama akademik antarabangsa  dengan sokongan pihak kedutaan Jerman dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneruskan kolaborasi antara kedua-dua pihak yang berlangsung secara maya membabitkan dua lokasi iaitu UMP di Pekan dan HsKA di Jerman baru-baru ini yang diselaras oleh pihak Pusat Kerjasama Akademik Jerman (GACC).

Dalam majlis ini juga, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar menandatangani MoU bagi meneruskan kolaborasi strategik dalam program Automotif dan Mekatronik dan tambahan program Elektrik sebagai program baharu manakala pihak HsKA diwakili Presidennya, Profesor Dr-Ing. Frank Artinger.

Hubungan baik itu membolehkan UMP bekerjasama dengan nama besar dalam industri dari Jerman seperti Mercedes-Benz, Volkswagen, BMW, Robert Bosch, Muehlbauer Technologies dan Elektrisola yang memberi peluang penempatan latihan industri, pertukaran staf, lawatan industri dan peluang pekerjaan.

Turut dijalankan projek kerjasama penyelidikan antarabangsa membabitkan pelajar dari Jerman dan Malaysia dalam menjalankan International Team Oriented Project Studies (MYiTOPS) yang mendapat tajaan geran bernilai 110 ribu euro daripada pihak badan antarabangsa, Baden-Wurttemberg Foundation.  

Dalam menjayakan program ini, UMP turut memperuntukkan geran bernilai satu juta ringgit bagi menjalankan penyelidikan bersama dalam bidang teknologi hijau, pengeluaran mampan dan ekologi, kecekapan tenaga serta tenaga boleh diperbaharui dengan diketuai oleh Profesor Dr. Rizalman Mamat  untuk tempoh lima  tahun.

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, menjelang perancangan Pelan Strategik UMP 2021-2025, UMP menetapkan sasaran agar semua fakulti dan jabatan di universiti ini perlu menjalinkan program antarabangsa sebagai penanda aras dalam memperkasa pembangunan akademik di universiti ini.

Sementara itu, Profesor Dr-Ing. Frank Artinger berkata, pihaknya berbangga dengan kejayaan pelajar UMP dan hasil kerjasama ini memberikan kepercayaan pihak German Engineers (VDI Karlsruhe) untuk menyumbang anugerah kecemerlangan buat pelajar cemerlang.

UMP merupakan satu-satunya universiti di Malaysia yang menerima sumbangan anugerah ini daripada pertubuhan VDI yang mempunyai  kepakaran Kejuruteraan dan Teknologi, menyediakan perkhidmatan kepada jurutera, penasihat terhadap ekonomi, politik dan teknologi serta menyumbang kepada aspek teknikal dan saintifik dalam pembangunan kejuruteraan Jerman di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, seramai lima pelajar UMP menerima biasiswa  Erasmus Mundus Joint Master Degree (EU4M) yang memberi peluang kepada mereka untuk mengikuti pengajian program di Jerman. 

Mereka adalah Mohd Saiful Akmal Razali, Nur Aida Mihat, Kong Zhung Jie, Ong Kai Lai dan Danial Haris Limi Hawari. 

Manakala program pertukaran staf ke Jerman membabitkan tiga pensyarah UMP iaitu Profesor Dr Rizalman Mamat, Ts Dr. Muhammad Yusri Ismail dan Dr. Ahmad Fitri Yusop serta profesor dari Jerman, Profesor Dr. Maurice Kettner dan Profesor Dr. Ferdinand Olawsky ke UMP.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Dekan FTKMA, Profesor Dr. Mahadzir Ishak dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Teknologi Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Madya Dr. Hamdan Daniyal dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Profesor Madya Ir. Dr. Faiz Mohd Turan. 

Hadir sama adalah Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Mekatronik HSKA, Profesor Dr. Robert Weis, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Teknologi Maklumat HSKA, Profesor Dr-Ing. Ulrich Gruenhaupt dan Pengarah DAAD Malaysia, Brian Trenaman.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit