Skip to main content

Suasana kondusif dan kesibukan menyiapkan tugasan antara faktor pelajar beraya di kampus

PEKAN, 6 Mei 2021 - Suasana kondusif di kampus dan kesibukan menyiapkan tugasan menjelang peperiksaan pada bulan hadapan menyebabkan sebahagian pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) kekal menetap di universiti dan membuat keputusan untuk beraya di kampus.
Pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Saiyidatul Marsyitah Aisyah Suhaime yang berasal dari Melaka berkata, cuti yang singkat ini akan digunakan sepenuhnya untuk mengulang kaji pelajaran.
“Agak berisiko untuk balik ke kampung memandangkan peperiksaan akhir kebanyakannya dijalankan secara bersemuka.
“Selain itu, saya masih mempunyai mempunyai rakan-rakan lain di kampus.
“Kami akan berkongsi kuih raya yang dihantar oleh ibu bapa kerana bagi saya ini merupakan satu pengalaman dan memori yang patut saya ada dalam kehidupan seorang pelajar,” katanya.
Beliau juga merancang untuk berhubung melalui panggilan video bersama keluarga selepas solat sunat Aidilfitri.
Tambah beliau lagi, ibu bapanya yang merupakan petugas barisan hadapan juga terpaksa bekerja pada hari raya kerana kekurangan staf pada cuti umum.
Saiyidatul Marsyitah turut menasihatkan kawan-kawan yang akan pulang ke kampung agar mengutamakan keselamatan dan kesihatan serta sentiasa beringat untuk mengamalkan kawalan kendiri.
“Jangan bersedih bagi rakan-rakan yang senasib dengan saya, carilah setiap hikmah dalam apa yang berlaku kerana kegembiraan itu perlu dicari dan dicipta,” ujarnya.
Pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Teh Darina Shahira Mohad Sekeri yang berasal dari Kuala Lumpur pula berkata, memandangkan pada semester ini beliau mengambil kursus yang memerlukan penggunaan makmal dan bagi mengelakkan kerja tertangguh beliau membuat keputusan untuk tidak pulang ke kampung halaman.
“Tambahan pula, Kuala Lumpur berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ini menyebabkan saya berisiko serta perlu menjalani isolasi apabila kembali ke kampus,” katanya.
Dalam pada itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menyambut baik keputusan yang dilakukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kebenaran untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang berada di kampus untuk pulang menyambut cuti perayaan Aidilfitri pada tahun ini.
Menurut Yang di-Pertua MPP, Muhammad Hisyamuddin Abdul Aziz, pengumuman ini memberikan kelegaan kepada para pelajar bagi membolehkan mereka menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang terutama kepada pelajar yang sudah lama berada di kampus dan tidak pulang ke kediaman masing-masing.
“Kira-kira 2,000 orang pelajar telah mengisi borang untuk pulang ke kampung bagi kampus Pekan dan Gambang dengan mengikut tiga cara pergerakan iaitu dengan menaiki kenderaan persendirian, diambil oleh ibu bapa atau kenderaan universiti.
“Pihak kami mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan UMP atas keprihatinan dalam membantu tadbir urus pengurusan pulang pelajar ke kampung halaman bagi menyambut cuti perayaan Aidilfitri,” katanya.
Beliau menasihatkan pelajar yang pulang berhari raya di kampung bersama keluarga tersayang agar jangan leka dan alpa serta terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), mengamalkan penjarakan sosial dan kawalan kendiri yang ketat seperti kerap membasuh tangan dan memakai pelitup muka walau di mana berada.
Pelajar juga perlu memastikan sentiasa berada dalam keadaan sihat dan selamat untuk kembali semula ke kampus bagi mengurangkan risiko jangkitan di dalam kampus. 

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit