Skip to main content

Sukarelawan gotong-royong bersihkan sungai

KUANTAN, 27 Mac 2021 – Menyedari kepentingan kelestarian sungai, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Jabatan Alam sekitar (JAS) Negeri Pahang mengadakan pelbagai usaha pemulihan dan penjagaan kebersihan sungai.

Baru-baru ini seramai 25 orang staf UMP yang diketuai oleh Ketua Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Tenaga dan Persekitaran), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Dr. Nadzirah Mohd Mokhtar menyertai Program Denai Sungai Kebangsaan bersempena Hari Air Sedunia 2021.

Program ini merupakan aktiviti kesukarelawanan anjuran Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta rakan strategik lain.

Penyertaan turut melibatkan seramai 75 orang sukarelawan termasuk daripada UMP, Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang dan pihak NGO dalam aktiviti kesukarelawanan membersihkan Sungai Balok Kuantan.

Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Yang Berhormat Tuan Haji Andansura Rabu.

Turut hadir Pengarah JAS Negeri Pahang, Tuan Haji Mohd Sani Mat Daud.
 
Menurut Andansura Rabu, Sungai Balok merupakan aliran terakhir bagi industri di Gebeng termasuk industri berat dan kimia namun kualiti sungainya terus terpelihara sedangkan kebiasaan sungai dalam kawasan industri berat akan tercemar dan usaha untuk memulihara menjadi lebih sukar.

Sementara itu menurut Tuan Haji Mohd Sani Mat Daud, Denai Sungai Kebangsaan merupakan salah satu strategi tindakan pencegahan pencemaran melalui pendekatan kawalan penyelesaian secara nature-based.

“Semua pihak yang terlibat dalam program sebegini diharapkan dapat menghayati dan memahami kepentingan alam sekitar untuk generasi akan datang.

“Penglibatan pihak industri juga amatlah dihargai. Dalam memajukan industri dalam negara, penjagaan alam sekitar perlu dititkberatkan untuk kesejahteraan hidup pada masa akan datang,” katanya.

Dr. Nadzirah Mohd Mokhtar pula berkata, selaras dengan slogan (tagline) UMP, Teknologi Untuk Masyarakat, universiti ini akan sentiasa menyokong apa juga program dalam memastikan alam sekitar dijaga terutama dalam berganding bahu untuk memastikan kualiti air berkekalan dalam keadaan yang baik.
“Selain itu juga, universiti sentiasa berusaha membawa teknologi baharu dan bersama industri dan komuniti dalam memastikan kelestarian alam sekitar,” ujarnya.

Semua peserta telah diberi taklimat ringkas dan nasihat dalam memastikan keselamatan sebelum aktiviti gotong-royong Denai Sungai bermula.

Selain itu, turut diadakan aktiviti Demonstrasi Pengunaan Alat Pengukuran Air (YSI), aktiviti river cruise bakau dan balingan mudball.

Program ini juga turut meyokong kempen pengumpulan e-waste yang menggalakkan peserta membawa household e-waste untuk diasing dan dikumpulkan. 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris