Skip to main content

Sumbangan MATAHARI sokong agenda kesukarelawanan universiti

KUANTAN, 14 Februari 2022 – “Golongan wanita mampu menyumbangkan tenaga dan idea untuk membangunkan negara.

“Justeru, Persatuan Wanita UMP (MATAHARI) yang ahlinya terdiri daripada pakar akademik, pengurusan profesional serta staf sokongan UMP perlu menggunakan kepakaran, buah fikiran dan tenaga masing-masing untuk menggerakkan persatuan demi kebaikan warganya dan masyarakat setempat,” kata isteri Menteri Besar Pahang, Datin Sri Dato’ Burhah Mohamed.

Tambahnya lagi, beliau sangat kagum dengan gandingan pengurusan tertinggi UMP dan Persatuan Wanita UMP (MATAHARI) yang menyokong antara satu sama lain dalam kerja-kerja kemasyarakatan sejak dari awal penubuhan Persatuan MATAHARI.

Beliau turut menyarankan agar Persatuan MATAHARI untuk meluaskan aktiviti dengan berganding bahu bersama persatuan lain untuk menambahkan lagi jaringan perhubungan antara persatuan-persatuan wanita dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Datin Sri Dato’ Burhah berkata demikian dalam Majlis High Tea Bersama Persatuan Wanita UMP (MATAHARI) dan meraikan anak yatim serta asnaf di Hotel Zenith Kuantan baru-baru ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri Pahang bagi tujuan melaksanakan inisiatif-inisiatif bersifat kebajikan dan kemasyarakatan.

Manakala Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP pula berkata, penubuhan MATAHARI adalah bersesuaian dengan moto persatuan iaitu ‘MATAHARI Bersinar UMP Berseri’, iaitu aktiviti-aktiviti yang dianjurkan MATAHARI bukan sahaja memberi manfaat kepada ahlinya tetapi juga turut mengharumkan nama universiti.

“UMP sentiasa prihatin dalam menjaga kebajikan dan kepentingan staf universiti.

“Justeru, staf UMP disarankan supaya berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada semua pemegang taruh (stakeholders) universiti, termasuklah masyarakat sekitar kampus UMP di Pekan dan Paya Besar.

“Kini UMP telah berusia 20 tahun, banyak manfaat telah diperoleh oleh masyarakat setempat, tambahan pula penubuhan Yayasan UMP dan persatuan-persatuan di UMP yang menggembleng tenaga meningkatkan kemahiran warga UMP adalah sangat bertepatan seiring dengan hasrat universiti dalam memasyarakatkan universiti menerusi slogan ‘Teknologi Untuk Masyarakat’,” katanya.

Presiden Persatuan MATAHARI, Datin Dr. Mazita Mokhtar pula mengucapkan terima kasih atas sokongan kerajaan negeri dan UMP yang sentiasa mendorong kelangsungan pembangunan MATAHARI supaya dapat bertindak sebagai salah satu wadah membangunkan agenda sukarelawan negara secara cost effective.

“Persatuan MATAHARI ditubuhkan bukan hanya untuk kebajikan ahlinya tetapi untuk melakukan kerja amal kebajikan dan membantu meningkatkan tahap sosioekonomi masyarakat setempat menerusi program pendidikan latihan kemahiran dan pembangunan diri, contohnya seperti program Empower ECER Mahkota Pahang dan Back to School.

“Oleh itu, semua ahli mestilah sentiasa bersedia dan saling membantu antara satu sama lain dalam menjayakan semua aktiviti yang dirancangkan,” katanya.

Majlis tersebut turut diserikan dengan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dengan tajuk ‘Peranan Kaum Hawa Dari Pandangan Islam’.

Pada masa yang sama turut diadakan serahan sumbangan kepada sepuluh orang anak yatim dan asnaf.

Hadir sama ialah Pengerusi NCWO Zon Pantai Timur, Yang Hormat Dato’ Sri Maznah Mazlan, Pengerusi Puspanita Daerah Pekan, Datin Firdhaus Md Yatim dan Pegawai Daerah dan Tanah Kuantan, Yang Mulia Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris