Skip to main content

Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UMP

Pekan, 26 Oktober 2020 - Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang baharu selama tiga tahun berkuat kuasa mulai 19 Oktober 2020 hingga 18 Oktober 2023. 

Pelantikan dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 17 (1) (a) Perlembagaan Universiti.    
 
Berkelulusan Ijazah Bachelor of Commerce (B.Com) daripada University of New South Wales Sydney Australia, Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz, 74, kemudiannya menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang Sains Pembangunan dan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Sosiologi Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
 
Beliau kini merupakan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) dan merupakan ahli Akauntan Bertauliah Malaysia dari Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) dan juga Malaysian Institute of Accountants (MIA)

Dengan ketokohan, keupayaan, kepakaran dan pengalaman luas yang dimiliki, beliau banyak memegang jawatan dalam syarikat korporat, pertubuhan sukan dan NGO, pentadbiran negeri Pahang Darul Makmur dan pentadbiran kerajaan.
 
Penglibatan beliau juga sangat sinonim dengan universiti apabila beliau pernah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah UMP sejak 2006 sehingga 2014. 

Bukan itu sahaja, beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi UMP Holdings Sdn. Bhd. (UMPH). 

Kini beliau merupakan Pengerusi IIUM Medical Specialist Centre dan Timbalan Pengerusi IIUM Holdings Sdn. Bhd.
  
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, dengan pengalaman luas beliau ini, pihak universiti yakin beliau akan dapat menyumbang kepakaran untuk meneruskan kecemerlangan.

“Ia seiring dengan hasrat universiti sebagai sebuah institut pendidikan tinggi berteraskan kejuruteraan dan teknologi ke arah universiti teknologi terunggul menjelang 2050.
 
“Pihak universiti juga mengucapkan terima kasih kepada Dato' Sri Ibrahim Ahmad yang kini merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

“Beliau telah banyak menyumbang bakti sepanjang lantikan bersama pengurusan UMP terutamanya dalam merangka Pelan Strategik UMP 2021-2025 serta menerajui Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) aras tinggi membabitkan Jaringan Universiti Teknikal Malaysia (MTUN),” katanya. 
                                                                        

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit