Skip to main content

Tanam pokok nadir khazanah buat generasi muda

PEKAN, 6 Disember 2021 - Dalam usaha menambahkan kehijauan kampus dan  kesinambungan usaha universiti memelihara persekitaran kampus yang lebih lestari, Pejabat Naib Canselor (PNC), Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengambil inisiatif melaksanakan Program Tanam Pokok Inisiatif Kampus Hijau Lestari di kawasan khas tumbuhan nadir seluas 5.3 ekar yang terletak berhampiran tasik UMP Pekan baru-baru ini.

Selain pokok nadir turut ditanam adalah pokok kelapa Matag yang juga ditanam sekitar tasik UMP.

Menurut Timbalan Pendaftar Kanan, PNC, Zainuddin Mat Hussin, penganjuran program ini ialah untuk menyokong usaha yang dilakukan universiti dalam melestarikan alam dan memelihara persekitaran kampus hijau UMP.

“Pokok buah-buahan nadir ini semakin diancam kepupusan dek era globalisasi dan arus pemodenan negara yang semakin pesat sekali gus turut mengancam spesiesnya.

“Malah generasi muda hari ini juga kurang mengambil tahu berkenaan khazanah ini.

“Kita tidak sahaja menanam pokok tetapi turut berpeluang mengenali jenis pokok dan memantau pembesarannya. 

“Ia juga tanda ingatan dan nostalgia buat warga kampus melalui pokok yang ditanam,” katanya. 

Program mendapat kerjasama dari Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) dan Persatuan Pembantu Operasi UMP.

Bagi Eksekutif Kanan, PNC, Saharudin Ramli, selain mengeratkan hubungan baik dengan rakan sekerja, program ini memberi peluang warga kampus untuk mengenali pokok yang jarang ditemui seperti pokok kuning telur dan binjai. 

“Pokok ini jarang diketahui umum tetapi pokoknya masih lagi ada dijumpai di Malaysia,” ujarnya. 

Manakala bagi Pengurus PPPH, Ernie Nurazlin Lizam, buah binjai atau nama saintifiknya Mangifera Caesia adalah antara buah nadir yang semakin kurang dikenali dan diminati. 

“Buah binjai berbeza dari segi saiz, warna kulit dan memiliki rasa manis, masam manis, masam serta lemak manis.

“UMP juga mempunyai dusun yang telah mula menghasilkan buah-buahan sejak ditanam beberapa tahun lalu. 

“Antara pokok-pokok yang terdapat di dusun UMP seperti durian, mangga, ciku, nangka madu, durian belanda, mata kucing dan lain-lain lagi. 

“Manakala pokok buah-buahan nadir yang terdapat di kampus pula antaranya adalah keranji, tampoi, mentega dan jentik-jentik,” katanya.

Manakala bagi Pembantu Am PNC, Muhammad Kairus Ibrahim beliau cukup teruja apabila berpeluang menanam pokok kelapa Matag yang dikategorikan sebagai viral apabila dikatakan saiznya rendah namun boleh menghasilkan buah yang banyak apabila ditanam dengan cara yang betul.

“Pada masa akan datang, saya berharap diberikan peluang berpeluang untuk menanam lebih banyak pokok,” katanya. 

Universiti komited menjalankan inisiatif penghijauan kampus melibatkan kawasan penanaman pokok, kawasan hutan dan kawasan lapang yang ditumbuhi tumbuhan semula jadi. 

Pada masa ini, sebanyak 27.5 peratus telah digazetkan sebagai kawasan hijau di dalam kawasan kampus. 

UMP juga merupakan rakan kerjasama dalam Jaringan Malaysia Sustainability University Network (MySUN) bagi memperkasa agenda kelestarian di seluruh negara.

Disebalik oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit