Skip to main content

Tarikan baharu inisiatif penghijauan kampus lestari UMP

PEKAN, 2 Mac 2021 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjalankan inisiatif penghijauan kampus melibatkan kawasan penanaman pokok, kawasan hutan dan kawasan lapang yang ditumbuhi tumbuhan semula jadi.

Pada masa ini, sebanyak 27.5 peratus telah digazetkan sebagai kawasan hijau di dalam kawasan kampus.

Bagi kawasan penanaman pokok, terdapat beberapa zon yang telah dibahagikan iaitu kawasan Arboretum Bioaromatik (8 ekar), kawasan dusun (2.3 ekar), kawasan tumbuhan nadir (5.3 ekar), Laman Cendekia (1 ekar), Tasik Rekreasi (39 ekar) dan Tasik Wetland (30.4 ekar).

Zon hutan di kampus ini pula terdiri daripada kawasan projek penghutanan semula UMP-FRIM (Fasa 1) seluas enam ekar, kawasan projek penghutanan semula UMP-FRIM (Fasa 2) yang dinamakan sebagai Rimba Lestari seluas 5.6 ekar dan kawasan sudut Rimba UMP seluas 5.3 ekar hasil kerjasama dengan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Baru-baru ini, Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff telah mengadakan lawatan tinjauan ke beberapa kawasan hijau yang menjadi tarikan baharu di UMP kampus Pekan seperti di Rimba Lestari dan Arboretum Bioaromatik.

Penerangan perkembangan terkini mengenai perkembangan Rimba Lestari dan kawasan hijau UMP disampaikan Pengurus, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Ernie Nurazlin Lizam.

Rimba Lestari 1 merupakan projek kerjasama antara UMP dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang terletak di antara bangunan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM).

Menurut Ernie, pada masa ini, sebanyak 1,802 pokok daripada 24 jenis pokok rimba dan pokok kayu tropika terdapat di Rimba Lestari ini antaranya seperti tongkat ali, meranti tembaga, cengal, beruas, ketapang, jelutung, simpoh air, meranti rambai daun, sungkai, dan pokok peluru.

“Kini, pihak PPPH dalam perancangan untuk menyediakan kod QR bagi setiap pokok dan pengunjung hanya perlu mengimbas kod ini untuk mengetahui jenis dan maklumat mengenai pokok tersebut,” katanya.

Selain Rimba Lestari, dusun UMP juga telah mula menghasilkan buah-buahan sejak ditanam beberapa tahun lalu.

Antara pokok-pokok yang terdapat di dusun UMP adalah durian, mangga, ciku, nangka madu, durian belanda, dan mata kucing.

Menariknya, di dusun UMP juga terdapat buah-buahan nadir seperti keranji, tampoi, mentega dan jentik-jentik.

Satu lagi lokasi tumpuan ialah Taman Arboretum Bioaromatik yang menempatkan tumbuhan yang mempunyai bau dan aroma herba sama ada untuk kegunaan ubat-ubatan ataupun masakan.

Antara tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sini seperti serai wangi, pokok cempaka, telor belangkas, halia, kantan dan pokok kecubung.

Profesor Ir. Dr. Wan Azhar menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak PPPH yang sentiasa berusaha untuk menjaga keindahan kampus dan mengharapkan usaha melestarikan kehijauan kampus ini dapat diteruskan dengan menambah baik beberapa insfrastruktur agar dapat menarik lebih ramai pengunjung ke UMP.

“Saya berharap kawasan ini bakal menjadi sumber maklumat dan penyelidikan warga UMP mengenai tumbuh-tumbuhan hutan.

“Rimba lestari ini juga bakal menjadi laluan pintas untuk pelajar merentasi satu tempat ke satu tempat yang lain.

“Sungguhpun UMP telah menyediakan laluan berbumbung untuk kemudahan pelajar, namun pelajar juga mempunyai alternatif lain merentasi laluan di Rimba Lestari di samping menikmati keindahan alam semula jadi,” katanya.

Selain itu, Rimba Lestari ini juga mampu memberi peluang kepada warga UMP untuk sama-sama meningkatkan dan membudayakan amalan kelestarian kampus hijau.

Profesor Ir. Dr. Wan Azhar turut meluangkan masa melawat dan menyampaikan sijil penghargaan buat petugas di tapak semaian dan landskap UMP sebagai menghargai jasa bakti mereka yang telah berkhidmat lebih lima tahun di universiti dalam memastikan kampus sentiasa indah.

Pada masa yang sama, beliau berpeluang menanam pokok Lagerstroemia spp. (bungor) di Rimba Lestari yang turut dihadiri Pengarah PPPH, Dr. Mohamad Idris Ali.

 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris