Skip to main content

Tawaran TVET Mandarin untuk pelatih PKLI-ECRL

KUANTAN, 6 April 2021 - Institut Konfusius, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menawarkan  modul TVET Mandarin untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Mandarin khas buat pembantu makmal yang sedang mengikuti Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) di UMP mulai 6 April hingga 30 April 2021 ini. 

Seramai 31 graduan lepasan diploma dan sarjana muda terlibat dalam latihan di UMP kampus Gambang dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19.  

Menurut Pengarah Institut Konfusius UMP, Yong Ying Mei, pihaknya telah membangunkan modul TVET Mandarin berdasarkan ciri-ciri kerja makmal dan aplikasi bahasa seperti topik sampel ujian, jenis ujian makmal dan lain-lain. 

“Modul TVET Mandarin dibangunkan khasnya untuk pembantu makmal dengan tujuan penguasaan asas bahasa Mandarin yang berkaitan dengan kerja-kerja makmal. 

“Menerusi pendedahan ini, ia akan dapat meningkatkan tahap berkomunikasi dalam kalangan warga Malaysia yang menceburi bidang industri rel dengan rakan sekerja dari China nanti.

”Selain kursus TVET Mandarin, para peserta juga  diberikan latihan makmal bagi ujian konkrit dan tanah oleh pensyarah UMP,” katanya. 

Program mendapat kerjasama pihak Pusat Reka Bentuk & Inovasi Teknologi (PRInT) yang telah menyelaras dan melaksanakan gerak kerja bagi latihan PKLI ini.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, berkata, kepakaran dan kelengkapan makmal di UMP seperti Makmal Struktur dan Bahan, Makmal Tanah dan Geoteknik serta Makmal Jalan Raya dapat menyumbang latihan kepada kejayaan latihan bagi industri rel bagi merealisasikan projek berkenaan.

UMP telah dilantik sebagai Universiti Fokal bagi menerajui PLKI hasil kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan Communications Construction Company (M) Sdn. Bhd. (CCCC) pada tahun 2017.
 

Disediakan Oleh: Yong Ying Mei, Institut Konfusius UMP

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News