Skip to main content

Ts. Dr. Farhan wanita pertama dilantik ahli fatwa panel teknikal oleh Muslim Professional Japan Association (MPJA)

GAMBANG, 27 Mei 2021 - Sistem Pengurusan Jaminan Halal dan Pensijilan Halal Malaysia sudah diiktiraf di peringkat global dan menjadi penanda aras kepada negara-negara lain di dunia. 

Pembangunan, penilaian dan semakan terhadap kepatuhan dan standard halal, fatwa, undang-undang dan peraturan Pensijilan Halal Malaysia amatlah penting bagi memudahkan umat Islam di Malaysia dan dunia amnya terpelihara.  

Dengan kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang Teknologi Pemakanan dan Bioteknologi, pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Ts. Dr.. Farhan Mohd Said telah dilantik sebagai ahli fatwa panel teknikal oleh Muslim Professional Japan Association (MPJA), Japan dengan diperakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Malaysia. 

Beliau juga merupakan wanita pertama sebagai ahli fatwa panel teknikal yang dilantik oleh MPJA. 

MPJA merupakan salah satu organisasi perintis sumber maklumat halal di Jepun yang ditubuhkan untuk membantu dan menyebarkan pengetahuan dan informasi mengenai cara hidup Islam kepada masyarakat Jepun. 

MPJA juga turut menjalankan pengauditan dan Pensijilan Halal yang menepati kualiti dan piawaian antarabangsa di negara Jepun.

Menurut Pengarah Urusan MPJA, Akmal Abu Hassan, lantikan Ts. Dr. Farhan itu amat bertepatan dengan kepakaran beliau dalam bidang teknikal pensijilan halal yang dilihat mula membuka mata pengusaha dan pemain industri di Jepun.

Selain itu, Ts. Dr. Farhan juga telah berjaya menjadi juruaudit halal yg diiktiraf oleh Majelis Ulama Indonesia (MUI) pada tahun 2019. 

Pada tahun 2018, Ts. Dr. Farhan bersama-sama dengan beberapa auditor MPJA telah mengadakan lawatan pemantauan Audit Halal di negara matahari terbit di dua buah fasiliti pemprosesan makanan iaitu kilang memproses minuman enzim, Dainichi Seiyaku Co. Ltd. yang terletak di Gifu, sebuah ibu kota di Jepun Tengah dan rumah penyembelihan, Zenkai Meat Corporation yang terletak di Hitoyoshi, Kumamoto, Kepulauan Kyushu. 

Menurut Ts. Dr. Farhan, program tersebut berjalan dengan baik dan lancar iaitu perbincangan serta pertukaran informasi mengenai konsep Halal diadakan antara pihak auditor MPJA, syarikat serta wakil Fatwa. 

“Langkah-langkah penambahbaikan turut dibincangkan dan pihak kami juga telah mencadangkan beberapa kaedah yang boleh ditambah baik supaya proses pengeluaran dapat dijalankan dengan lebih efisien dan sempurna mengikut piawaian dan syariat Islam.

“Objektif utama lawatan tersebut adalah bagi memantau proses pengauditan Halal yang dijalankan oleh pihak MPJA di Jepun,” katanya yang mendapat pendidikan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Bioproses dari Massey Universiti, New Zealand

Selain itu katanya, lawatan tersebut bertujuan untuk perkongsian ilmu dan maklumat berkaitan proses audit dan ia merupakan serampang dua mata kerana selain ahli fatwa memberikan khidmat nasihat dan tunjuk ajar mengenai aspek pengauditan yang betul, ahli fatwa turut mendapat pendedahan serta pengalaman mengenai keadaan dan pelaksanaan sistem pengauditan Halal dan penerimaan konsep Halal di Jepun yang bukan merupakan negara Islam. 

“Sepanjang tempoh lantikan saya sebagai fatwa panel, kesedaran untuk mendapatkan pensijilan halal bagi industri Jepun adalah tinggi. 

“Industri yang terlibat bukan sahaja tertumpu kepada produk makanan sahaja tetapi turut melibatkan produk kosmetik, produk pertengahan, OEM dan juga rumah sembelihan. 

“Ini adalah kerana hampir setiap bulan, mesyuarat bersama panel fatwa akan diadakan,” tambahnya lagi.

Beliau yang merupakan Tenaga Pengajar Halal (TPH) JAKIM turut dituntut untuk menghadiri mesyuarat panel fatwa yang diadakan dua kali sebulan bagi bulan-bulan tertentu yang diadakan secara dalam talian sama ada melalui aplikasi Skype atau Zoom di kala pandemik COVID-19 melanda dunia.

Antara industri di Jepun yang memohon mendapatkan pensijilan halal melalui MPJA adalah seperti Ajishokuken Co. Ltd., Croda Japan Co., Ltd., Enex Co., Ltd., Nankai Chemical Co., Ltd., AminoUp Co., Ltd. dan Nishiawa Beef Ltd.

Secara kolektifnya, MPJA yang dipengerusikan oleh Pengarah Urusan, Akmal Abu Hassan, yang merupakan rakyat Malaysia yang menetap di Jepun berharap usaha sama di antara MPJA dengan UMP ini dapat membuka mata dunia berkenaan potensi industri halal bukan sahaja di Jepun malah secara global amnya.

Bergambar bersama Pengurusan Atasan Dainichi Seiyaku Co., Ltd dan auditor MPJA
Bergambar bersama Pengurusan Atasan Dainichi Seiyaku Co., Ltd dan auditor MPJA
Perbincangan bersama Pengurusan Atasan Zenkai Meat Corporation
Perbincangan bersama Pengurusan Atasan Zenkai Meat Corporation
Bergambar bersama Pengurusan Atasan Zenkai Meat Corporation dan auditor MPJA
Bergambar bersama Pengurusan Atasan Zenkai Meat Corporation dan auditor MPJA

 

Sesi Latihan untuk juruaudit halal anjuran Majelis Ulama Indonesia (MUI)
Sesi Latihan untuk juruaudit halal anjuran Majelis Ulama Indonesia (MUI)
Mesyuarat aplikasi zoom pada Mac 2021
Mesyuarat aplikasi zoom pada Mac 2021
Mesyuarat Fatwa menggunakan aplikasi zoom pada April 2021
Mesyuarat Fatwa menggunakan aplikasi zoom pada April 2021

Disediakan Oleh: Ts. Dr. Azizul Helmi Sofian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) dan Safriza Baharuddin, Penerbit UMP

Reports by:
Admin UMP News