Skip to main content

UMP julung kali tersenarai dalam penarafan dunia THE WUR 2023

PEKAN, 12 Oktober 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) buat julung kalinya tersenarai di kedudukan 801 hingga 1,000 bagi penarafan Times Higher Education World University Rankings (THE WUR) yang diumumkan hari ini.

Lebih membanggakan, UMP berada di kedudukan kelapan daripada 22 buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia yang tersenarai dan merupakan universiti terbaik dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Pencapaian ini mengambil kira lima indikasi utama iaitu Pengajaran, Penyelidikan, Sitasi, Pendapatan dari Industri dan Tinjauan Antarabangsa.

Edisi kali ini telah menyenaraikan 1,799 buah universiti dari seluruh dunia.

UMP juga tersenarai di kedudukan 635 bagi Indikasi Tinjauan Antarabangsa yang menilai UMP daripada 3 aspek iaitu Pelajar Antarabangsa, Staf Antarabangsa dan Kerjasama Antarabangsa.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, kecemerlangan UMP di dalam indikasi ini memperlihatkan perkembangan positif UMP di peringkat antarabangsa dan lebih bermakna tatkala UMP baru menyambut ulang tahun ke-20 pada tahun ini.

“Universiti akan terus meluaskan jaringan kerjasama akademik dan penyelidikan di peringkat antarabangsa di samping memperkukuhkan lagi hubungan universiti ke beberapa negara termasuklah Jerman, China dan Kazakhstan serta bakal diperluas ke USA dan negara-negara Eropah yang lain.

“UMP juga telah melakar kejayaan sebelum ini apabila tersenarai di kedudukan 301 hingga 400 dalam Times Higher Education Impact Rankings (THE Impact) yang juga merupakan penyertaan pertama universiti ini.

“Penarafan THE Impact merupakan sistem penarafan global yang menilai usaha universiti terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” ujarnya.

Selain itu katanya, UMP akan memperkukuhkan peranannya sebagai universiti teknologi dalam MTUN untuk mengangkat agenda pemerkasaan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada semua peringkat.

Disediakan oleh: Hazlina Faizal, Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti (PHKK)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News