Skip to main content

UMP lancar Aplikasi ADAB untuk manfaat pelajar

PEKAN, 31 Julai 2021 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) melancarkan Aplikasi ADAB UMP yang merupakan aplikasi mudah bagi pelajar untuk mendapatkan pelbagai maklumat terkini sepanjang pengajian di universiti ini.

Aplikasi ini memberi akses kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan akademik, kebajikan pelajar, kewangan pelajar dan kemudahan yang terdapat di UMP.

Aplikasi ini turut menyediakan kemudahan permohonan secara dalam talian seperti zakat, e-aduan dan sebagainya.

Ia turut menghubungkan pelajar dengan portal-portal rasmi jabatan di UMP, agensi kerajaan dan penyedia perkhidmatan bank serta pembayaran dalam talian swasta.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, situasi pandemik yang tidak menentu di negara kita telah menuntut satu tindak balas secara holistik dan pantas bagi memastikan perkhidmatan akademik, pembangunan pelajar dan pentadbiran universiti berada pada tahap yang terbaik.

“Walaupun kehadiran fizikal pelajar ke kampus tidak dapat dilakukan pada waktu sekarang, UMP tidak pernah berhenti melakukan penambahbaikan dalam memberikan perkhidmatan secara dalam talian khususnya untuk para pelajar,” katanya ketika melancarkan Aplikasi ADAB UMP bersempena Perasmian Hari Suai Kenal bagi pelajar baharu program diploma, asasi dan pradiploma bagi tahun 2021 menerusi dalam talian yang disiarkan di Facebook UMPMalaysia.

Profesor Ir. Dr. Wan Azhar mengucapkan tahniah kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dengan kerjasama pihak Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK) dalam menjayakan usaha membangunkan aplikasi ini.

“Ia akan sentiasa ditambah baik dengan fungsi-fungsi terkini sesuai dengan keperluan semasa pengguna seiring dengan kemajuan teknologi terkini,” katanya.

Beliau menasihatkan pelajar agar dapat memanfaatkan penggunaan aplikasi ini sebagai satu wadah maklumat yang boleh menghubungkan antara pelajar dan UMP.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kemasukan pelajar baharu yang memilih UMP sebagai destinasi pendidikan tinggi mereka.

Hadir sama mengikuti program ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UMP, Muhammad Hisyamuddin Abdul Aziz.

Seramai 600 orang pelajar baharu telah mendaftar secara dalam talian bagi mengikuti pengajian program Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Kejuruteraan Kimia, Diploma Kejuruteraan Awam, Diploma Sains Komputer, Diploma Sains Industri, Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

UMP lancar Aplikasi ADAB untuk manfaat pelajar

Tempoh pendaftaran secara dalam talian ini dilanjutkan sehingga 6 Ogos 2021 bagi memberi peluang kepada calon pelajar yang berdepan dengan masalah semasa membuat pendaftaran.

Selain itu juga, penubuhan Pusat Diploma dan Asasi (PDA) pada 1 Mac 2021 telah memusatkan pengurusan dan pentadbiran semua program diploma di UMP.

Ini termasuklah program persediaan iaitu Program Asasi Sains dan Teknologi serta Program Pradiploma.

Terdapat dua saluran bagi kemasukan pelajar ke program diploma UMP iaitu melalui kemasukan di portal UPU dan Masuk UMP Secara Terus (MUST) melalui pautan https://umpadvanced.ump.edu.my/admission/.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC).

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris