Skip to main content

UMP lancar kad alumni tanda penghargaan

Gambang 19 Oktober 2020 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) melancarkan kad alumni untuk semua alumninya dengan menawarkan pelbagai manfaat sebagai tanda penghargaan. 

Dengan adanya kad ini, para alumni akan menerima manfaat dan kemudahan Kad Touch & Go, pemberian diskaun penerbitan daripada Pejabat SUARA UMP,  perkhidmatan Perpustakaan UMP, diskaun pembelian di KoopMart UMP, diskaun perkhidmatan Bangsawan Picture dan lain-lain lagi.

Pelancaran kad alumni itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dalam majlis Tautan Kasih Alumni bersama Naib Canselor bertempat di Dewan Astaka, UMP Kampus Gambang baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Sri Md Sharif Shamsuddin, Ketua Pegawai Esksekutif UMP Holdings Sdn. Bhd. yang juga merangkap Presiden Persatuan Alumni Graduan UMP, Tuan Syed Mohamad Hamzah Al-Junid dan Pengurus Koperasi UMP Berhad, Kapten Fazil Hassan.
 
Profesor Ir. Dr. Wan Azhar mengucapkan tahniah kepada Bahagian Hubungan Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang buat julung kalinya meraikan para alumni yang kini sedang berkhidmat di UMP.
 
Ujarnya, para alumni juga merupakan antara segmen utama yang memberi nafas kepada ekosistem sesebuah universiti. 

"UMP sangat menghargai dan mengiktiraf peranan dan sumbangan istimewa para alumni dalam konteks kemajuan UMP selama ini," katanya. 

Sepanjang 18 tahun usia penubuhan universiti UMP, jumlah alumni sehingga bulan September 2020 ialah seramai 27,073 orang. 

Daripada jumlah tersebut, 98 peratus daripada keseluruhan alumni UMP kini bekerja dalam pelbagai sektor atau pun melanjutkan pengajian sama ada di dalam mahu pun di luar negara.
 
Namun demikian, ibarat sirih pulang ke gagang, seramai 139 orang atau 0.5 peratus daripada keseluruhan 27,073 alumni tersebut telah memilih untuk berkhidmat dengan UMP.

Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar lagi, daripada jumlah tersebut 89 orang merupakan staf akademik, 29 orang staf Kumpulan Pengurusan dan Profesional, 21 orang staf Kumpulan Pelaksana dan Sokongan, 15 orang bertugas dengan UMP Holdings Sdn. Bhd. dan tiga orang pula berkhidmat di UMP Advanced Education Sdn. Bhd.
 
"Saya percaya, alumni UMP berupaya memberi impak yang signifikan terhadap perkembangan, pencapaian dan kemajuan universiti ini. 

“Insya-Allah, satu hari kelak alumni UMP akan memegang pelbagai jawatan penting.

“Walau bagaimanapun, apa yang lebih penting bukan jawatan atau pangkat yang disandang, tetapi peranan, khidmat dan sumbangan yang diberikan oleh para alumni dalam apa jua kapasiti mereka sama ada secara rasmi mahupun sukarela.

“Sejajar dengan pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2021-2025, maka sewajarnya langkah-langkah harus diberikan penekanan yang serius. 

“Pihak universiti juga telah meletakkan visi untuk UMP muncul sebagai sebuah universiti teknologi terunggul menjelang tahun 2050,” ujar beliau. 
 
Menurut salah seorang alumni UMP yang kini berkhidmat sebagai Pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Dr. Noor Intan Shafinas Muhammad, beliau merupakan alumni Sarjana Kejuruteraan Kimia pada tahun 2012 dan menyambung pengajian di Iowa State University, Amerika Syarikat.
 
Beliau sangat menghargai usaha UMP yang mengumpulkan alumni UMP dan diharapkan program ini dapat diteruskan pada masa akan datang. 

“Maklum balas dari alumni yang menjadi staf terutamanya yang daripada pascasiswazah boleh digunakan untuk menambah baik terutama dalam Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) sedia ada,” ujarnya. 

Selain itu, beliau turut merasa amat gembira apabila dapat menyumbang kembali ilmu pengetahuan kepada generasi baharu UMP.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit