Skip to main content

UMP peroleh Geran Penjana KPT-CAP bantu graduan

KUANTAN, 8 Oktober 2021 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) melalui Pusat Perhubungan Alumni dan Kebolehpasaran Graduan berjaya memperoleh geran Penjana KPT-Career Advancement Programme (CAP)@State yang berjumlah RM2,587,200.
 
Menurut Pengarah Pusat Perhubungan Alumni dan Kebolehpasaran Graduan, Ir. Ts. Dr. Siti Zubaidah Sulaiman, penjana KPT-Career Advancement Programme (CAP)@State merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam usaha mengurangkan lambakan graduan tanpa pekerjaan ketika pandemik Covid-19. 
 
“UMP akan bertindak selaku penyelaras program manakala Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills dilantik sebagai penyedia latihan. 

“Sebanyak tiga program bakal dilaksanakan dengan melibatkan sekurang-kurangnya 500 penyertaan dalam kalangan graduan Universiti Awam (UA) yang terdiri daripada anak Pahang.
 
“Tiga program tersebut adalah Business Jr.  yang bernilai RM517,440, Niaga.Com bernilai RM517,440 dan Offshore Marine in Hospitality berjumlah RM1,552,320,” ujarnya.

Katanya, kesemua program ini akan dilaksanakan dalam tempoh 30 hari dan terbuka kepada pelajar lepasan diploma dan ijazah sarjana muda yang bergraduat pada tahun 2019 hingga 2021.
 
“Program Offshore Marine in Hospitality Management ini akan memberi peluang kepada 300 graduan dan kesemua graduan ini akan dijanjikan peluang pekerjaan setelah berjaya menamatkan program ini. 
 
“Manakala dua lagi program di bawah kategori keusahawanan, iaitu Business Jr. dan Niaga.com akan memberi peluang kepada 100 graduan bagi setiap program. 
 
“Graduan yang berjaya menamatkan program di bawah kategori keusahawanan ini akan menerima geran sebanyak RM3,000 setiap seorang bagi memulakan perniagaan,” katanya.

Geran ini adalah sumbangan daripada Yayasan Pahang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM600,000.
 
Para graduan UMP perlu mengambil peluang dan memberikan komited yang tinggi ketika menyertai program ini. 

Malahan melalui geran ini juga akan membolehkan graduan mendapat peluang pekerjaan dalam mendepani landskap pekerjaan yang pada masa kini sangat kompetitif.

Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim