Skip to main content

UMP rai pengamal media Pahang dalam Majlis Iftar

KUANTAN, 28 Mac 2023 - Seramai 100 orang pengamal media, pegawai perhubungan agensi dan rakan kerjasama strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP) dirai bagi menghargai peranan media dalam meningkatkan kebolehlihatan universiti di samping menyalurkan maklumat terkini.

Dalam majlis itu, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan pengurusan universiti berpeluang berkongsi perkembangan universiti dan bertukar idea serta pandangan dengan pelbagai pihak.

Menurut beliau, genapnya 21 tahun usia UMP yang disambut pada 16 Februari 2023 baru-baru ini dimaknakan dengan keterampilan kecemerlangan UMP secara menyeluruh yang meliputi semua dimensi yang menyumbang kepada keunggulan pencapaian universiti.
 

UMP rai pengamal media Pahang dalam Majlis Iftar

“Pihak UMP juga amat menghargai sokongan pihak media yang sentiasa menghebahkan kecemerlangan serta perkembangan universiti kepada khalayak.

“Semoga kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Pihak pengurusan akan terus berkerjasama erat dengan pihak agensi media dan semoga kerjasama UMP dengan rakan strategik ini dapat diperluas dan mengeratkan hubungan baik untuk manfaat bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media sempena Majlis Iftar UMP bersama Media, Agensi dan Rakan Strategik yang berlangsung di Menara 188 Kuantan.
 

UMP rai pengamal media Pahang dalam Majlis Iftar

Tambah beliau, UMP telah berjaya melahirkan seramai 38,462 orang alumni yang telah menyumbang semula tenaga dan kepakaran mereka kepada masyarakat serta pembangunan negara.

“Malahan kebolehpasaran graduan UMP pula mencatat peningkatan kepada 98.67 peratus bagi tahun 2022.

“Selaras dengan slogan UMP ‘Teknologi untuk Masyarakat’, UMP akan mengambil peluang dalam melonjakkan kecemerlangan universiti dengan beberapa cadangan mekanisme penyelesaian terhadap permasalahan industri dan memberi manfaat kepada komuniti setempat dengan mengenal pasti 11 kepakaran UMP berdasarkan kluster bandar pintar (smart city), pertanian dan keselamatan makanan (agriculture and food security), nadir bumi (rare earth), teknologi pengangkutan (vehicular technology), kelestarian tenaga (energy sustainability) dan sains bahan (material sciences).

“Lain-lain ialah kluster bioteknologi perindustrian (industrial biotechnology), fine and speciality chemical, pengurusan dan sains sosial (management and social sciences), petrokimia (petrochemical) dan pembinaan (construction),” ujarnya.

Sebagai panduan dan rujukan umum yang boleh dimanfaatkan masyarakat di negara ini, UMP telah melancarkan Buku UMP’s Cluster of Knowledge dan UMP Sustainable Campus Blueprint 2022-2025 baru-baru ini.

Menurutnya lagi, UMP mengekalkan kecemerlangan lima bintang dalam penarafan MyMohes untuk tahun ke-8 berturut-turut dengan pencapaian markah penuh 100 peratus merujuk penilaian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam mengumpul data daripada semua universiti awam berkaitan staf, penyelidikan dan pembangunan, pelajar dan maklumat institusi.

“Bersempena Ramadan ini juga, pihak Yayasan UMP menyasarkan sumbangan sebanyak RM240,000 bagi penyediaan juadah buat mahasiswa seramai 2,000 orang di kedua-dua kampus Pekan dan Gambang,” katanya.
 

UMP rai pengamal media Pahang dalam Majlis Iftar

Pihaknya mempelawa syarikat korporat dan orang ramai untuk sama-sama menyumbang ke Tabung Ramadan di bawah Yayasan UMP.

Dalam majlis itu juga, Profesor Ts. Dr. Yuserrie menyerahkan sumbangan Bakul Rahmah UMP kepada Presiden Kelab Media Pahang, Mohd. Jasmi Faisal Muda yang mewakili pihak media untuk membantu mereka yang berkeperluan sempena Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

Turut hadir Pendaftar, Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Penolong Naib Canselor Bahagian Pembangunan TVET, Profesor Dr. Abdullah Ibrahim dan Penolong Naib Canselor Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pahang, Arifin Awang, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pahang, Rida Suzirawati Muda, Setiausaha Kelab Media Pahang, Nor Khalilah Gusti Hassan yang juga ahli Himpunan Media Alternatif dan Influencer, Jemaah Viral Malaysia, Ketua Biro New Straits Times, Alagesh a/l Theruvarul Nathan dan Ketua Biro Negeri Sinar Harian, Nik Amirul Mu’min.

Para tetamu turut berpeluang melawat Observation Deck dan Sky Deck serta menyaksikan keindahan bandar Kuantan, Sungai Kuantan, hutan bakau dan lautan sambil menikmati juadah berbuka puasa di restoran beraltitud tinggi itu.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit