Skip to main content

UMP-RTM santuni masyarakat Nenasi dalam Jelajah Ramadan Sedekad

NENASI PEKAN, 16 April 2022 - Program kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam Jelajah Ramadan bersama penduduk di Nenasi Pekan bersempena sambutan 20 tahun UMP dan 76 tahun RTM telah mendekatkan hubungan baik dengan masyarakat setempat.

Program ini juga diadakan sebagai tanda keprihatinan warga UMP dan RTM dalam menyantuni masyarakat di sekitar negeri Pahang bagi menyambut bulan Ramadan al-mubarak 1443H.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, UMP menjadikan aktiviti kesukarelawanan menjadi agenda penting universiti dalam melahirkan pelajar yang terampil dan warga UMP yang prihatin.

UMP-RTM santuni masyarakat Nenasi dalam Jelajah Ramadan Sedekad

“Pada hari ini, seramai 50 sukarelawan Kilau UMP membabitkan seramai 30 sukarelawan staf dan 20 staf berkampung menyediakan bubur lambuk, laksa gebok dan kenduri rakyat secara bergotong-royong. 

“UMP juga berpeluang menyampaikan sumbangan bantuan Yayasan UMP buat keluarga susah dan ibu tunggal di sini,” katanya.

Pihak universiti juga turut menyumbang solar bergerak (mobile) untuk kegunaan masjid di sini dalam membantu memudahkan urusan semasa ketiadaan elektrik serta menyempurnakan urusan di tanah perkuburan yang agak gelap di kawasan ini.

UMP-RTM santuni masyarakat Nenasi dalam Jelajah Ramadan Sedekad

Ia sebahagian daripada Projek Khidmat Komuniti UMP Lighting Up The Community yang merupakan sebahagian daripada aktiviti bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 UMP.

Ia juga selari dengan hasrat universiti dalam mendekatkan universiti kepada komuniti dan slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’ agar kewujudan UMP dirasai dan manfaat kepakaran dinikmati penduduk setempat.

UMP juga menggunakan medium ini untuk menyampaikan hebahan berkenaan Biasiswa Sulung iaitu satunya anak atau anak pertama dalam keluarga golongan B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading dan ditawarkan mengikuti pengajian di UMP bagi mengikuti program diploma dan ijazah sarjana muda berpeluang menerima Biasiswa Sulung di bawah Yayasan UMP.

Ia merupakan pencetus motivasi kepada ahli keluarga yang lain untuk meningkatkan prestasi dalam bidang akademik.

UMP-RTM santuni masyarakat Nenasi dalam Jelajah Ramadan Sedekad

Hadir dalam program, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang yang juga ADUN Bebar, Dato’ Muhammad Fakharuddin Mohd. Ariff yang menyampaikan sumbangan kepada golongan warga emas dan asnaf serta golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19. 

Turut sama Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Dato’ Che Roslan Chee Daud dan Pengarah Program, Nor’ain Bakir. 

Program juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Lembaga Perindustrian Nanas, Syarikat Adabi Kuantan dan Syarikat Petronas.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit