Skip to main content

UMP siap sedia terima 6,334 pelajar kembali ke kampus

PEKAN, 16 September 2021 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) bersiap sedia menerima kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus bermula 15 Oktober ini membabitkan kumpulan pelajar yang berkeperluan untuk pulang ke kampus dan mereka yang sudah lengkap vaksinasi.

Ia akan dilaksanakan di kedua-dua kampus UMP di Pekan dan Gambang secara berperingkat selaras pengumuman oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang kini menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr Yuserrie Zainuddin, buat masa ini pihak universiti telah mengenal pasti seramai 6,334 orang pelajar daripada kumpulan pelajar berkeperluan termasuklah pelajar tahun akhir yang perlu menghabiskan pengajian mereka mengikut masa yang ditetapkan untuk kembali ke kampus.

“Manakala aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang akan bermula pada 11 Oktober ini akan dijalankan secara dalam talian.

“Namun demikian, bermula 15 Oktober ini ia akan dijalankan secara hibrid (dalam talian dan bersemuka) mengikut keperluan program pengajian.

“Pihak universiti turut memperkukuhkan prosedur operasi standard (SOP) di kampus termasuklah mengambil kira keperluan vaksinasi terhadap warga kampus bagi mewujudkan kelompok gelembung kampus (campus bubble) yang selamat agar penularan wabak COVID-19 dapat dibendung,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut mempergiatkan usaha menghubungi pelajar yang masih belum menerima suntikan vaksin untuk mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran lokaliti mereka bagi menerima suntikan sebelum dibenarkan memasuki kampus.

“Selain itu, pelbagai inisiatif dalam memastikan kebajikan pelajar dan beberapa aktiviti bersesuaian dalam kampus sedang dikaji pelaksanaannya bagi menyokong persekitaran pengalaman kampus.

“Suasana kampus pastinya sedikit berubah dengan pelaksanaan beberapa SOP demi keselamatan dan kesejahteraan pelajar di kampus.

“Pihak universiti juga telah merangka pendekatan strategik bagi mengurangkan kemasukan jangkitan COVID-19 dari luar kampus dan mengehadkan penyebaran wabak apabila terdapat jangkitan di dalam kampus,” ujarnya.

Pada masa ini, pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Bahagian Keselamatan (BKES) sedang menyelaras pergerakan pelajar memasuki kampus.

UMP sentiasa mengambil maklum situasi semasa dan merujuk pemakluman terkini daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Para pelajar boleh menghubungi Bilik Gerakan UMP di talian 09-549 3333 (UMP Kampus Gambang) dan 09-424 6999 (UMP Pekan) untuk mendapatkan sebarang khidmat nasihat dan prosedur yang berkaitan.

Bagi urusan akademik pula, para pelajar boleh merujuk kepada pihak fakulti melalui penasihat akademik masing-masing.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit