Skip to main content

UMP terima lantikan pentauliahan pusat latihan Bosch Rexroth Academy

JERMAN, 17 April 2023 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) terima pentauliahan UMP Bosch Rexroth Academy sebagai pusat latihan program persijilan IR4.0 Industrial Automation dan Control & Drive.

Dalam program itu, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin hadir menerima lantikan daripada Pengarah Bosch Rexroth Academy, Mark Endress dan Ahli Lembaga Eksekutif dan Timbalan Presiden Eksekutif Bosch Rexroth AG, Thomas Donato. 

Turut sama hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Bosch Rexroth ASEAN and Oceania, Micheal Gunawan, Ketua Pegawai Eksekutif Bosch Rexroth Malaysia, Darren Chen, Penolong Naib Canselor, Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, UMP, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Madya Dr. Hamdan Daniyal. 

Pentauliahan ini membolehkan UMP menawarkan program persijilan kompetensi TVET aras tinggi terkait dengan industri automasi serta kawalan dan pacuan (control and drive). 

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, pelajar UMP khususnya dari bidang Teknologi dan Kejuruteraan akan menerima manfaat dan ilmu pengetahuan serta kemahiran dari kerjasama antara UMP dan Bosch Rexroth ini.

“Kerjasama ini menjadi titik permulaan dalam menjayakan UMP sebagai pusat rujukan dan latihan kemahiran termaju bukan sahaja di Malaysia malahan di persada dunia,” katanya. 

Dalam pada itu, mesyuarat dan perbincangan berkaitan kursus kemahiran terbuka TVET aras tinggi akan dilaksanakan selepas ini. 

Terdahulu, UMP telah pun meterai kerjasama dengan Bosch Rexroth Sdn. Bhd. (Bosch Rexroth)  dalam aktiviti pembangunan kurikulum ke arah universiti-industri ini pada 6 Februari lalu. 

Kerjasama ini melibatkan latihan industri, pertukaran pelajar dan  tawaran kursus pembelajaran yang ditambah baik, menjadikan modul latihan industri 4.0 berasaskan pensijilan dari Jerman sebagai rujukan.

Selain  itu, kerjasama ini turut melibatkan penempatan pelajar amali dengan penggunaan peralatan di Malaysia dan luar negara dan program pensijilan kepada pelajar khususnya dalam program Sarjana Muda Teknologi, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan dan Sarjana Muda Kejuruteraan. 

Disediakan Oleh: Mimi  Rabita  Haji  Abdul  Wahit,  Bahagian   Komunikasi  Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit