Skip to main content

UMPH bantu sedia 1000 pelindung muka dan sumbang air minuman buat petugas kesihatan

Prihatin terhadap keperluan pelindung muka buat petugas kesihatan dan barisan hadapan yang berjuang membanteras penularan wabak penyakit Covid-19 terutamanya di negeri Pahang, UMP Holdings Sdn. Bhd (UMPH) yang juga merupakan anak syarikat Universiti Malaysia Pahang (UMP) membantu menyediakan 1000 alat pelindung muka (face shield) dan menyumbang 720 botol air minuman kepada petugas kesihatan.

Pelindung muka dibuat pihak UMP Services Sdn Bhd manakala air minuman disumbangkan oleh Imani Agro Industries Sdn Bhd. Kedua-dua syarikat ini merupakan subsidiari UMP Holdings Sdn Bhd.

Serahan disampaikan Pengurus Besar UMP Services Sdn Bhd, Mohd. Sanusi Abdullah kepada Ketua Jururawat, Sabariah Abu Bakar yang diwakili Nurilham  Ibrahim dan Nancy Borubui di Pejabat Kesihatan Negeri Pahang hari ini.  Hadir sama Pengurus Sumber Manusia, Adlan Maarop dan Pengurus Projek , Mohd Hairuddin Idris. 

Menurut Sanusi, sebanyak 1000 pelindung muka ini disediakan  pihaknya untuk menyokong inisiatif kerajaan negeri di bawah penyelarasan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang untuk diedarkan kepada kakitangan barisan hadapan (frontliners) di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang masih memerlukan bekalan di negeri ini.

“Sumbangan ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial kepada masyarakat semasa negara berdepan dengan ancaman penularan wabak Covid-19 dengan memberi fokus bantuan terhadap barisan hadapan yang bekerja keras dalam memutuskan rantaian virus ini, “ katanya. 

Tambah beliau lagi, inisiatif ini merupakan salah satu bentuk sumbangan khidmat komuniti pihak syarikat pada ketika ini, iaitu setiap syarikat mahupun individu memainkan peranan penting dalam meringankan beban para petugas barisan hadapan dalam menghadapi penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Hairuddin berkata, seramai 30 sukarelawan yang terdiri daripada warga UMP Holdings & Kumpulan berganding bahu dalam menyediakan pelindung muka pakai buang ini. Pihaknya juga turut mengambil langkah keselamatan terhadap petugas dengan penjarakkan sosial serta kerap mengunakan cecair pensanitasi tangan (hand- sanitizier).

UMP Holdings juga menjalinkan kerjasama bersama Persatuan Alumni & Graduan UMP dalam menyumbangkan air minuman kepada para petugas hadapan termasuklah pihak berkuasa yang terlibat dengan operasi sekatan jalan raya di sekitar Gambang. 

Tabung “triUMPH Frontliners’  juga diperkenalkan bagi mengumpul sumbangan orang ramai untuk menyumbang air minuman buat petugas. Pemberian air mineral ini dilaksanakan secara mingguan. 

Di samping itu , pihaknya turut membekalkan cecair pensanitasi tangan (hand sanitizier) dalam memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan konsisten berdasarkan keperluan.
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri