Skip to main content

Uniknya Rimba Lestari khazanah hijau dalam kampus

PEKAN, 12 Mac 2021 - Universiti sebagai peneraju ilmu memainkan peranan penting bagi menerapkan pendidikan pembangunan lestari dalam kalangan warga universiti dan masyarakat selari dengan matlamat Pembangunan Lestari Sustainable Development Goals (SDGs) yang ingin dicapai menjelang tahun 2030.

Dalam pembangunan kampus hijau, Universiti Malaysia Pahang (UMP) mempunyai 27.5 peratus kawasan yang telah digazetkan sebagai kawasan hijau di dalam kawasan kampus.

Inisiatif penghijauan kampus ini melibatkan kawasan penanaman pokok, kawasan hutan dan kawasan lapang yang ditumbuhi tumbuhan semula jadi.

Kawasan penanaman pokok mempunyai beberapa zon yang telah dibahagikan iaitu kawasan Arboretum Bioaromatik (8 ekar), dusun (2.3 ekar), kawasan tumbuhan nadir (5.3 ekar), Laman Cendekia (1 ekar), tasik rekreasi (39 ekar) dan tasik wetland (30.4 ekar).

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, salah satu komponen unik di UMP adalah dengan wujudnya tanaman rimba di dalam kampus.

“Ia melibatkan kawasan projek penghutanan semula yang mendapat kerjasama daripada pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

“UMP-FRIM (Fasa 1) seluas 6 ekar dan kawasan projek penghutanan semula UMP-FRIM (Fasa 2) yang dinamakan sebagai Rimba Lestari pula ialah seluas 5.6 ekar.

“Kerjasama pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang membabitkan zon hutan di kawasan sudut Rimba UMP seluas 5.3 ekar,” ujarnya.

Kedudukan Rimba Lestari itu terletak di antara bangunan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM).

Katanya, ia merupakan kekayaan khazanah hijau yang akan menjadi lapangan baharu bagi kepentingan pelajar, keseimbangan pembangunan dan dapat mengurangkan kepanasan.

“Peranan rimba ini bukan sahaja sebagai teduhan malahan sesuai dengan pembangunan penyelidikan dan tidak mustahil kita boleh menunggang kuda di denai ini.

“Pelajar boleh menggunakan laluan denai di Rimba Lestari untuk melintas antara bangunan atau ke kawasan berhampiran.
“Lebih menarik terdapat kod QR bagi setiap pokok dan kita hanya perlu mengimbas kod ini untuk mengetahui jenis dan maklumat mengenai pokok tersebut,” katanya.

Sebanyak 1,802 pokok daripada 24 jenis pokok rimba dan pokok kayu tropika terdapat di Rimba Lestari ini antaranya seperti tongkat ali, meranti tembaga, cengal, beruas, ketapang, jelutung, simpoh air, meranti rambai daun, sungkai dan pokok peluru.

UMP juga sedang merancang mewujudkan perpustakaan rimba yang boleh dijadikan tarikan pelajar terutamanya dalam kalangan pelajar antarabangsa untuk mengikuti pengajian di universiti ini terutamanya di negeri Pahang yang mempunyai banyak tarikan pelancongan.

Dalam usaha bagi memastikan agenda kelestarian ini dapat dicapai, universiti juga perlu menjadi teladan dalam menerapkan budaya lestari di dalam kampus.

Baru-baru ini Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz diiringi Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff telah mengadakan lawatan dan meninjau ke kawasan hijau Rimba Lestari yang menjadi tarikan baharu di UMP kampus Pekan.

Pengarah Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH), Dr. Mohamad Idris Ali dan Pengurus PPPH, Ernie Nurazlin Lizam mengadakan taklimat penerangan kawasan hijau UMP dan perkembangan Rimba Lestari.

Turut hadir ialah pegawai daripada FRIM, Dr. Wan Asma Ibrahim, Dr. Wan Rashidah Wan Ab Kadir dan Siti Nur Ridhwah Mohd. Ramli.

Universiti melaksanakan inisiatif penghijauan dalam membangunkan landskap kampus agar lebih hijau dan lestari demi memastikan warganya dapat menikmati persekitaran yang lebih kondusif dan berkualiti.

UMP turut tersenarai di tangga ke-90 terbaik dunia dalam Penarafan UI GreenMetric World University Ranking 2020.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit