Skip to main content

Warga UMP kongsi kisah di sebalik perjuangan menentang musuh Covid-19

PEKAN, 17 September 2021- Suasana pandemik pada masa ini menuntut kita agar terus patuh kepada setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membebaskan negara daripada terus dijajah oleh musuh senyap dan ia merupakan suatu perjuangan yang amat dituntut daripada rakyat ketika ini.

Malahan, keadaan pandemik ketika ini tidak ubah seperti suasana perang yang memerlukan rakyat mempunyai semangat patriotik tinggi dan berjuang bersama-sama memerangi musuh yang telah meragut banyak nyawa dan kebebasan yang kita kecapi selama ini.

Perasaan sedih pilu tentunya akan menyelubungi setiap individu yang kehilangan orang yang disayangi akibat gugur dalam perjuangan menentang ancaman COVID-19.

Bagi Eksekutif Kanan, Jabatan Pembangunan Graduan (JPG), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Halizan Mahmood, kehilangan ayah tersayang akibat dijangkiti COVID-19 amat memberikan kesan yang mendalam buat beliau dan keluarga.

“Demi mementingkan kesihatan kedua ibu bapa, saya sanggup menanggung rindu lebih setahun tidak pulang ke kampung halaman di Shah Alam, Selangor.

“Namun, siapa sangka pada awalnya ayah sedang mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di hospital telah dijangkiti COVID-19.

“Lebih memeritkan apabila saya yang tinggal berjauhan hanya mampu melihat urusan pengebumian menerusi dalam talian yang dikongsikan oleh keluargan dan semuanya berlaku amat pantas,” ujarnya.

Sehingga kini, beliau dan ahli keluarganya masih trauma dengan kehilangan insan tersayang akibat COVID-19.

Beliau berkongsikan kisah ini ketika dijemput sebagai salah seorang panel Bicara Merdeka anjuran Jabatan Pendaftar baru-baru ini yang bertajuk ‘Hikmah di Sebalik COVID-19, Merdekakah kita?’
 
Berlainan pula dengan kisah Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Nor Asikin Salleh yang turut dijangkiti COVID-19 bersama anaknya yang berusia setahun lima bulan.

Ujarnya pada ketika itu, beliau hamil dengan usia kandungannya 20 minggu yang memerlukan beliau dan anaknya menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

“Sepanjang dalam tempoh menerima rawatan dan saat getir di HTAA, saya ingin berterima kasih kepada semua doktor dan jururawat yang sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Tidak dilupakan juga kepada rakan-rakan, jiran dan pihak pengurusan UMP yang sentiasa cakna dalam menghantar sumbangan bantuan makanan dan keperluan untuk keluarga saya,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Ketua Unit Audit Dalam, Mohd Akram Abdul Razak pula, pengalamannya sepanjang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) amat berharga dan banyak memberi hikmah kepadanya.

“Saat yang paling mendebarkan apabila saya menerima mesej dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memaklumkan keadaan dirinya yang dijangkiti COVID-19 beberapa hari sebelum umat Islam menyambut hari raya.

“Namun, sebagai umat Islam, saya perlu sentiasa menerima ujian yang diberi dengan hati terbuka,” katanya.
 
Beliau merupakan salah seorang daripada 1,200 orang pesakit COVID-19 yang ditempatkan di PKRC Gambang.

Tambahnya lagi, semasa di PKRC beliau mendapati kebanyakan pesakit COVID-19 yang ditempatkan di sini berumur seawal dua tahun hingga 75 tahun dan berbilang agama, bangsa dan negara.

“Sepanjang berada di sini dengan berlainan latar belakang, pangkat dan darjat bukan menjadi ukuran, malah semuanya bersatu dan saling membantu dalam melaksanakan pelbagai perkara selaras dengan saranan Perdana Menteri Malaysia iaitu ‘Keluarga Malaysia’.

“Pengalaman manis saya di sini apabila semua pesakit yang beragama Islam akan melaksanakan solat berjemaah lima waktu.

“Selain itu juga, semua pesakit amat berdisplin terutama ketika beratur dalam mengambil makanan dan pemeriksaan kesihatan.

“Jalinan silaturahim juga wujud antara pesakit dan kami banyak berkongsi pengalaman serta saling memberi semangat antara satu sama lain,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau amat terharu dengan usaha universiti menerusi Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) yang melaksanakan program bacaan Yasin beramai-ramai setiap minggu bagi mendoakan kesejahteraan warganya.

Timbalan Dekan, Institut Pengajian Siswazah (IPS), Profesor Ir. Dr. Ahmad Razlan Yusoff turut berkongsi pengalaman beliau sekeluarga yang turut dijangkiti COVID-19.

Ujarnya, cabaran pada awalnya apabila beliau dan isteri ditempatkan di lokasi PKRC yang berbeza.

“Cabaran bagi saya untuk menguruskan anak-anak yang merindui ibunya.

“Pada ketika ini, teknologi amat membantu tatkala kerinduan, panggilan video menjadi penghubung dan pengubat rindu.

“Alhamdulilah, walaupun saya disahkan positif, namun saya tidak mempunyai sebarang gejala,” katanya.

“Ia tidak menghalang saya untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan secara dalam talian melalui Google Meet dan Google Classroom. Teknologi dalam talian hari ini banyak memberi manfaat dan lebih praktikal untuk digunakan,” ujarnya.

Program yang dijalankan hampir dua jam secara dalam talian itu telah disiarkan di Facebook UMP Malaysia dengan dihadiri seramai 300 orang.

Hadir sama ialah Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi UMP, Hazmin Aris yang turut membacakan teks perasmian bersempena Majlis Perasmian Penutup Sambutan Bulan Kemerdekaan yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP.

Dalam ucapannya, beliau mengharapkan agar warga UMP dapat menghayati semangat kemerdekaan dengan sentiasa menanam sikap prihatin antara satu sama lain.

Warga UMP juga diseru agar bersama-sama menjayakan program vaksinasi negara agar kita mencapai imuniti kelompok (herd immunity) dalam perjuangan menangani wabak COVID-19 ini ditambah lagi jenis varian baharu virus yang dikenal pasti dalam negara.

Katanya, dahulu kita berperang dengan menggunakan senjata api bagi memerangi musuh yang kita nampak iaitu komunis, tetapi kini peperangan yang kita hadapi jauh berbeza sama sekali kerana musuh yang kita hadapi ini lebih ganas dan berbahaya.

“Malahan ia tidak mampu dilihat oleh mata kasar tetapi ada di sekeliling kita.

“Sekali kita alpa sekelip mata ia boleh meragut nyawa.

“Justeru, perisai dan kubu yang kita ada hanyalah terus patuh pada SOP yang ditetapkan dan dengan melengkapkan diri dengan vaksin,” ujarnya.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris