Skip to main content

Warga UMP perlu bijak urus kewangan sihat

PEKAN, 12 Julai 2021 – Pelaksanaan moratorium 2.0 yang diumumkan oleh kerajaan pada 7 Julai yang lalu merupakan langkah bijak yang diambil bagi mengurangkan beban rakyat di samping dapat meneruskan kelangsungan hidup.

Kaji selidik yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati sebanyak 75 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai wang simpanan sekurang-kurangnya RM1,000.

Justeru, moratorium 2.0 ini dilihat sebagai satu peluang selain menawarkan pilihan sebagai jalan penyelesaian bagi memperbaiki kewangan individu yang terkesan.

Menurut Pengurus Besar Kewangan, Jabatan Bendahari, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Norliza Arshad, moratorium secara ringkasnya merupakan cuti bayar hutang atau penangguhan yang diberikan oleh bank selama tiga hingga enam bulan yang disebabkan oleh ketiadaan aliran tunai wang masuk atau keluar.

“Peminjam harus memahami dengan memohon moratorium, kos pinjaman akan meningkat secara keseluruhan kerana faedah dan keuntungan akan terus diambil kira ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh.

“Setiap pembiayaan mempunyai kesan yang ada mortgage reducing term takaful (MRTT) iaitu nilai perlindungan namun apabila mengambil moratorium terdapat risiko ketiadaan tambahan perlindungan.

“Warga UMP turut dinasihatkan untuk mempunyai kedudukan kewangan yang sihat. Ini bermaksud mempunyai komitmen yang rendah dan dapat berdaya tahan dengan keadaan semasa serta mampu menjangka cabaran masa hadapan dalam tempoh lima atau sepuluh tahun akan datang,” katanya.

Selain itu katanya, kita juga disarankan untuk menjauhi hutang antaranya termasuklah seperti ar-rahnu atau kad kredit.

“Hutang ini merupakan tanggungan yang perlu dibayar demi sesuatu yang tidak mempunyai nilai pulangan malah mempunyai susut nilai.

“Jadi, keputusan untuk mengambil moratorium atau tidak adalah tidak sama bagi setiap orang kerana ia bergantung kepada situasi yang berbeza,” katanya dalam program Webinar Siri Transformasi Eksekutif Perdana (STEP) yang bertajuk ‘Sesi Perkongsian Umum: Moratorium: Pilih atau Tidak’.

Ujarnya, sekiranya tidak mempunyai dana kecemasan selama enam bulan atau ingin melangsaikan hutang dalam tempoh yang pendek maka disyorkan untuk mengambil moratorium namun hendaklah bijak merancang bagi menguruskan dana ini.

Tambah beliau, bagi mana-mana staf yang memohon moratorium hendaklah memaklumkan sebarang kelulusan permohonan moratorium kepada Unit Gaji, Jabatan Bendahari, UMP.

UMP juga turut menawarkan kursus kewangan kepada staf seperti pengurusan kewangan peribadi, pengurusan hutang dan cara menyelesaikan hutang dengan bijak, pengurusan cukai/PCB/CP38, pengurusan zakat, pilih moratorium atau tidak, pengurusan faraid, perancangan persaraan, dan risiko dan pulangan pelaburan.

Program yang dijalankan menerusi aplikasi Zoom itu dikendalikan oleh Jabatan Pendaftar dengan tujuan berkongsi dengan warga UMP berhubung cara pengurusan kewangan yang sihat.

Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim