Skip to main content

Warga UMP sambut Aidilfitri, rai barisan hadapan

PEKAN, 24 Mei 2022 - Pengorbanan petugas barisan hadapan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang bertungkus-lumus tanpa mengira masa untuk mengekang penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan warga kampus amat dihargai oleh universiti. 

Mereka turut dihargai dan bersempena sambutan Majlis Rumah Terbuka UMP dengan tema ‘Syawal Dirai, Keluarga UMP Dihargai’ kumpulan  barisan hadapan ini menerima sijil penghargaan daripada universiti. 

Sijil disampaikan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang turut dihadiri  ADUN Peramu Jaya, Dato’ Sri Haji Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali. 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Ts. Mohd Rosli Hainin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Ts. Dr. Rusllim Mohamed serta barisan pengurusan universiti. 

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, dua tahun tidak menyambut kemeriahan Aidilfitri, pastinya ketibaan bulan Syawal kali ini dinanti dengan rasa teruja dalam kalangan mahasiswa. 

“Majlis hari ini merupakan platform untuk mengeratkan silaturrahim antara staf, pelajar, pesara dan komuniti setempat,” katanya. 

“Majlis ini juga menghargai peranan dimainkan petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak COVID-19 di UMP. 

“Pihak universiti berterima kasih atas segala komitmen para petugas keselamatan dan kesihatan terutamanya Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Bahagian Keselamatan (BKES), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) dan lain-lain termasuk sukarelawan staf dan pelajar yang banyak menyumbang bakti buat  universiti. 

Dalam pada itu, seramai 5,000 orang dalam kalangan staf, pelajar, pesara dan komuniti hadir sejak jam 9.00 pagi membanjiri Dewan Serbaguna UMP Pekan dalam suasana meriah. 

Turut berlangsung pertandingan gerai terbaik yang menyaksikan JHEPA diumum sebagai Johan diikuti Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA) tempat kedua Jabatan Canseleri di tempat ketiga. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit