Skip to main content

Yayasan UMP terima RM470,648 sumbangan MUIP untuk agihan zakat dan bantuan bencana

PAYA BESAR, 20 September 2022 - Yayasan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima sebanyak RM470,648.75 sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang merangkumi  bagi bantuan dana zakat sebanyak RM220,648.75, Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Biasiswa Sulung) berjumlah RM200,000 manakala Bantuan Bencana sebanyak RM50,000.

Majlis serahan sumbangan disampaikan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dato' Ahmad Hairi Hussain kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga merupakan Pengerusi Yayasan UMP dalam Majlis Penyerahan Zakat dan Insentif Pendidikan Yayasan UMP di Dewan Bankuet UMP Kampus Gambang. 

Hadir sama Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan UMP, Bendahari UMP, Zainuddin Othman dan Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar.

Yayasan UMP terima RM470,648 sumbangan MUIP untuk agihan zakat dan bantuan bencana

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz, Yayasan UMP ditubuhkan bertujuan menyalurkan bantuan buat pelajar termasuk bantuan makanan dan kesempitan hidup bagi meringankan beban bukan sahaja pelajar dan staf malahan melibatkan komuniti setempat.

“UMP amat prihatin agar pelajar ini tidak tercicir dalam pembelajaran seiring dengan pembangunan teknologi pada masa ini bantuan komputer turut diagihkan buat pelajar yang berkeperluan. 

“Dengan situasi sekarang, komputer riba bukan melambangkan kemewahan, namun ia satu keperluan kepada setiap pelajar,” katanya.

Beliau turut mengharapkan agar semua pelajar dapat bersungguh-sungguh dalam pengajian dan mudah-mudahan mereka memperoleh kecemerlangan. 

Yayasan UMP terima RM470,648 sumbangan MUIP untuk agihan zakat dan bantuan bencana

Pihak Yayasan UMP sentiasa cakna terhadap kebajikan pelajar UMP dan masyarakat setempat selain mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak bagi merealisasikan hasrat murni ini 

Dalam pada itu, pemberian Biasiswa Sulung yang memfokuskan usaha membantu pelajar B40 yang ahli keluarganya belum pernah menjejakkan kaki ke menara gading ini juga akan memberi inspirasi dan memberi semangat buat mereka untuk menyambung pengajian tinggi.

Pada tahun ini katanya, sebanyak RM 417,550 membabitkan seramai 851 pelajar telah menerima zakat yang diagihkan hasil terimaan daripada agensi korporat dan pada hari ini sebanyak RM 9,500 membabitkan seramai 19 orang pelajar diploma bakal menerima zakat,” katanya.

Dalam pada itu juga, seramai 72 staf UMP menerima zakat dengan kadar antara RM200 hingga RM400 dan insentif pendidikan membabitkan seramai enam orang pelajar dalam majlis itu.

Berkongsi perkembangan universiti, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz berkata, UMP juga memperluaskan kolaborasi di peringkat antarabangsa dengan institusi Jerman dan China dalam memperkasa agenda pengantarabangsaan dan menambah nilai program akademik  agar diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

“Selain itu, bagi mengenali teknologi baharu dalam bidang Sains, UMP akan mengadakan program Sains, Teknologi, Matematik dan Kejuruteraan (STEM) pada masa akan datang bagi mendedahkan pelajar meminati bidang ini seiring dengan perkembangan teknologi.

“UMP turut menggerakkan usaha murni melalui pelbagai program bantuan dalam mengumpul sumbangan terutamanya bagi sumbangan bencana, pembelian kelengkapan sekolah dan bantuan meringankan beban staf yang ditimpa masalah kesihatan. 

“Malah, pihak Yayasan UMP juga turut memfokuskan kepada persediaan bantuan terhadap masyarakat setempat di negeri Pahang yang terlibat dalam bencana banjir dan lain-lain,” katanya. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit