Skip to main content

Kembar Terima Ijazah UMP Serentak

Kuantan, 10 November – Pasangan kembar seiras antara penerima ijazah Sarjana Sains Kejuruteraan Mekanikal pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang ke-13 di sini. Farah Alia Fauzi,27 dan Farah Ayuni Fauzi, 27, merupakan pelajar kembar seiras yang tidak pernah berpisah sejak dilahirkan. Kedua-dua mereka bercita-cita ingin menjadi  tenaga pengajar sejak di bangku sekolah mengikuti jejak langkah ayah mereka, Fauzi Ismail, 53 yang berkhidmat sebagai guru.  

Menjadi rezeki buat mereka apabila berjaya menamatkan pengajian dalam masa yang ditetapkan dan lebih menarik tempat mereka bekerja juga tidak jauh. Farah Ayuni ditugaskan di syarikat swasta sebagai Pegawai Projek di Seri Kembangan, Selangor manakala adiknya Farah Alia bekerja sebagai Pembantu Penyelidik secara sambilan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. “Memang kami tidak pernah berenggang, sampailah dapat tempat kerja di negeri yang sama,” kata Farah Ayuni dan kembarnya yang berasal dari Pulau Chondong, Kelantan ketika ditemui selepas menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen itu.

Menurut Farah Ayuni lagi, beliau dan adiknya masing-masing bekerja keras untuk cemerlang dalam pelajaran dan gembira akhirnya berjaya membuktikan kemampuan mereka kepada ibunya, Rohani Hamat, 50 dan bapa yang berkorban selama ini. Menjadi tanggungjawab anak sulung dalam keluarga dalam membantu meringankan beban keluarga serta menjadi contoh teladan yang baik kepada adik-beradik yang lain.

Selain itu, katanya, kejayaan hari ini juga adalah berkat doa daripada ibu bapa mereka. Kami sering bertukar-tukar pandangan dan selalu mengulangkaji pelajaran bersama apatah lagi ditempatkan di kelas yang sama, ianya memudahkan kami. Tanpa pelajaran dan ilmu pengetahuan, kita tidak mampu untuk bersaing. Tambah beliau, mereka berdua bercadang bekerja terlebih dahulu dan akan menyambung pelajaran ke peringkat kedoktoran (PhD) suatu hari nanti.

Reports by:
Norhidayah binti Mohamad