Skip to main content

Lebih 1,000 pelajar rebut peluang sambung belajar dalam Program B40 UPU2U

BERA, 20 September 2022 - Lebih 1,000 pelajar sekolah berpeluang menyertai Program B40 UPU2U 2022 Zon Pahang anjuran Bahagian Kemasukan Pelajar Intitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) (BKPA JPT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi memberikan pendedahan dan pemahaman khusus kepada semua golongan terutamanya B40 yang menghadapi kesukaran mengakses maklumat secara dalam talian. 

Program yang diadakan di Dewan Kompleks Rakan Muda Bera, Pahang itu turut memberi berpeluang  kepada orang ramai untuk nmendapatkan maklumat terperinci mengenai cara mengisi UPUOnline dan menggunakan kembali kefahaman tersebut bagi mengisi permohonan kemasukan ke universiti kelak.

Program dirasmikan Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Wahi Nordin. 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, wakil rasmi Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Wan Nazarul Hazwan Abd Razak dan Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Akademik (PPKA) UMP, Zainal Bahari.

Menurut Wahi, Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA atau UPU menyediakan laluan khas dalam kemasukan ke IPTA. 

“Antara golongan yang terlibat ialah anak-anak Orang Asli, Orang Kurang Upaya, atlet dan anak-anak kumpulan berpendapatan B40. 

Lebih 1,000 pelajar rebut peluang sambung belajar dalam  Program B40 UPU2U

“Calon UPUOnline dalam kumpulan ini tidak perlu bersaing dengan kumpulan arus perdana, hanya perlu menepati syarat am dan khas yang ditetapkan oleh institusi dan akan disaring dalam kelompok masing-masing sahaja.

“Malahan program ini juga dapat menyebarluaskan maklumat mengenai program pengajian sedia ada dan program baharu yang ditawarkan oleh universiti awam (UA), politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan institusi lain serta ambilan bagi pembelajaran jarak jauh, pembelajaran secara separuh masa dan pembelajaran melalui kursus-kursus pendek,” ujarnya.

Dalam pada itu, Profesor Ts. Dr Mohd Rosli  berkata, UMP sebagai salah sebuah UA sentiasa komited dalam membantu semua pelajar tidak kira walau dari zon mana sekali pun, untuk menyambung pengajian. 

“Bukan sahaja di UMP malah universiti lain seluruh Malaysia. 

“Namun sebagai universiti di negeri Pahang, tumpuan pastinya diberikan kepada anak-anak Pahang bagi melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan sudah pasti kami mengharapkan UMP menjadi antara universiti pilihan para pelajar,” katanya. 

Pihaknya mengharapkan semua calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk mengambil peluang ini bagi berjumpa secara terus wakil-wakil dari semua IPTA dan IPTS di setiap lokasi program ini dijalankan. 

Pada masa yang sama, pihak pihak universiti akan sentiasa membantu pelajar-pelajar lepasan SPM dan STPM terutama golongan B40 untuk menyambung pelajaran sekali gus mengelakkan berlakunya keciciran dalam kalangan mereka ini.

Program UPU2U ini bukan sahaja memfokuskan golongan B40, malah ia diperluaskan untuk golongan orang asli dan sebanyak sepuluh lokasi telah ditetapkan di seluruh Malaysia bermula September hingga Mac 2023.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat,  Jabatan Canseleri. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit