Skip to main content

8 Felo Perdana Protege UMP dilantik berkhidmat bersama pengurusan

PEKAN, 5 Oktober 2022 - Seramai lapan orang graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya terpilih dalam program Felo Perdana Protege UMP yang akan berkhidmat di UMP dan ditempatkan bersama selama enam bulan kepada pengurusan universiti termasuk Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.

Mereka terdiri daripada Nur Ainaa Adhreena Muhamad Shukri ditempatkan di Pejabat Naib Canselor (PNC), Muhammad Aminuddin Rosnizan di Jabatan Pendaftar dan Nur Aliah Hani Saiful Amir di Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA).

Manakala Muhammad Syamim Mazlan ditempatkan di Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Muhammad Aizat Azed di Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Muhammad Nur Aqmal Nazri di Jabatan Bendahari.
 

8 Felo Perdana Protege UMP dilantik berkhidmat bersama pengurusan

Ainul Shuhada Mokhtar pula ditempatkan di Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta dan Nurul Shuhada Haji Mohamed ditempatkan di Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS).

Majlis perasmian dan serahan watikah pelantikan protege itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak (CTAR) UMP Pekan.

Hadir sama ialah Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yusserrie Zainuddin, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan pengurusan tertinggi UMP.

Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dalam ucapannya menzahirkan ucapan tahniah kepada semua yang berjaya terpilih menyertai program ini.

8 Felo Perdana Protege UMP dilantik berkhidmat bersama pengurusan

“Gunakan tempoh enam bulan ini sebaiknya, ambillah peluang ini untuk meraih pengalaman dalam pelbagai bidang sepanjang bertugas di UMP,” katanya.

Pada masa yang sama mereka akan dilibatkan dalam program kesukarelawanan dan penglibatan komuniti (community engagement).

Walaupun semua protege ini ditempatkan di beberapa jabatan namun pemantauan akan diadakan.

“Saya percaya jika peluang ini dapat digunakan sebaiknya, para protege akan lebih kompetitif dan lebih bersedia menempuh alam pekerjaan yang lebih mencabar,” katanya.

Beliau berharap semua protege dapat mempelajari daripada mentor masing-masing bagaimana untuk menjadi seorang pentadbir yang baik terutama dalam pengendalian mesyuarat dan penyelesaian masalah.
 

8 Felo Perdana Protege UMP dilantik berkhidmat bersama pengurusan

Nurul Shuhada Haji Mohamed, 29, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, beliau tidak menyangka dan bersyukur terpilih menyertai program ini.

“Menerusi program ini, saya memperoleh nilai tambah dan dapat menimba ilmu dalam pengurusan,” katanya.

Manakala rakannya, Muhammad Aizat Azed, 28 yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam pula melahirkan rasa teruja dapat menimba ilmu dan mempelajari secara terus sistem tadbir urus universiti bersama pengurusan tertinggi universiti, khususnya apabila beliau ditempatkan bersama mentor, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.

Ujarnya, ini merupakan peluang yang baik untuknya keluar dari kebiasaan dan menceburi bidang yang berlainan dengan pengajian.

Protege UMP merupakan program yang julung kali UMP anjurkan bagi memberi peluang kepada alumni UMP untuk menimba pengalaman bertugas dan bekerja sebagai Pegawai Ikhtisas kepada Pengurusan UMP selama enam bulan.

Protege ini akan didedahkan kepada pelbagai aspek kepimpinan universiti dan mendapat peluang menjadi sebahagian daripada proses pembangunan sambil mengasah kemahiran kepimpinan mereka di peringkat tertinggi universiti.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris