Skip to main content
Kumpulan Kencana Pawana UMP Raih 3 Anugerah MAKUM

Kumpulan Kencana Pawana UMP Raih 3 Anugerah MAKUM

Serdang, 2 Disember – Kumpulan Kencana Pawana Universiti Malaysia Pahang (UMP) menggondol tiga anugerah utama dalam Festival Zapin Majlis Kebudayaan Universiti –universiti Malaysia (MAKUM) 2018 yang berlangsung di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.

Menurut mahasiswa Fakulti Sains & Teknologi Industri  merangkap Ketua Tarian Zapin, Mohamad Firdaus Ab Hadi, 21, dalam pertandingan itu Kumpulan Kencana Pawana telah memenangi Anugerah Tatarias Terbaik, Anugerah Kumpulan Harapan dan Anugerah Perdana yang membawa pulang wang tunai RM250 dan trofi bagi setiap anugerah yang dimenangi.

Tambahnya, mereka sungguh teruja dan tidak menyangka dengan kejayaan ini apabila buat julung kalinya meraih sebanyak tiga anugerah sekaligus memandangkan persaingan yang hebat antara universiti.

“Dalam pertandingan ini kami telah memilih tarian Zapin Padang Sari serta memakai pakaian dan aksesori Tradisional Johor. Tarian ini  melibatkan 12 orang penari dan kami berpuas hati berjaya membuat persembahan dengan baik.” katanya.

Katanya, kejayaan ini adalah hadiah teristimewa buat kumpulan yang berusaha keras berlatih hanya dalam tempoh dua minggu sebelum pertandingan ini. Selain itu menghargai  sokongan semua pihak terutamanya kepercayaan pihak universiti dalam memberi mereka peluang untuk tampil membuat persembahan sehingga berjaya sampai ke peringkat ini.

Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim  mengucapkan tahniah kepada Kencana Pawana UMP di atas kejayaan ini dan mengharapkan semoga dengan kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada kumpulan kebudayaan UMP untuk terus cemerlang mencipta kejayaan.

Tambahnya, biarpun UMP sebagai sebuah universiti yang berfokuskan kepada teknikal dan kejuruteraan, namun pihak universiti sentiasa menyediakan peluang serta fasiliti kepada mahasiswa mengembangkan minat dalam bidang seni kebudayaan.

Juara bagi Festival Zapin MAKUM 2018 telah dimenangi oleh UPM, tempat kedua milik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi MARA di tempat ketiga. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPM, Prof. Mohd Roslan Sulaiman.

Festival MAKUM merupakan salah satu festival tahunan yang dianjurkan bagi  melahirkan penggiat generasi baru yang mampu menjadi penggerak kepada perkembangan seni.

Disediakan oleh Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri