Skip to main content

Arwah Mohd Azemi dinaikkan pangkat Pengawal Keselamatan Kanan

PAYA BESAR, 30 Disember 2021 – Pengawal Keselamatan, Allahyarham Mohd Azemi Yunus, 40 yang meninggal dunia setelah mengidap kanser usus pada  Oktober lalu diberikan kenaikan pangkat secara Time-Based daripada gred KB19 ke KB 22 sebagai menghargai khidmat bakti beliau.

Pemberian kenaikan pangkat secara Time-based itu berdasarkan kecemerlangan bagi kumpulan pegawai kumpulan pelaksana yang telah berkhidmat selama 13 tahun.

Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, kenaikan gred ini sekali gus dapat membantu keluarga arwah mendapat bayaran pencen yang lebih tinggi. 

“Seluruh warga UMP amat berdukacita atas pemergian Allahyarham sepanjang menjalankan tugas di UMP dan amat menghargai sumbangan bakti Allahyarham selama ini,” katanya. 
 
Allahyarham telah meninggal dunia pada 2 Oktober 2021 lalu akibat mengidap penyakit kanser usus sejak tahun lalu telah meninggalkan isteri dan empat orang anak.
 
Isteri Allahyarham yang juga merupakan pengawal Keselamatan UMP, Noorfarasuraya Ishak, 33 mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan universiti yang prihatin dengan kebajikan staf.

Beliau mengimbas detik arwah mula dikesan apabila mengidap penyakit kanser usus tahun lepas.

“Masih segar lagi dalam ingatan, tanda-tanda awal arwah sakit apabila arwah mengadu sakit perut, namun pada ketika itu kami sangkakan ia alahan dari awal kehamilan saya.

“Namun semakin lama keadaannya semakin merosot dan akhirnya Allahyarham disahkan mengidap kanser usus tahap tiga,” katanya yang ditemui bersempena Majlis Jasa Dikenang anjuran Jabatan Pendaftar baru-baru ini. 

Beliau mengucapkan terima kasih kepada warga UMP yang banyak membantu sepanjang tempoh dalam menjalani rawatan sehingga arwah menghembuskan nafas terakhir.

Selain itu, Noorfarasuraya reda dengan pemergian arwah dan akan teruskan perjuangan untuk membesarkan empat orang anak, ibu mertua dan adik perempuan arwah.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris