Skip to main content

UMP pergiat kolaborasi industri teroka teknologi berimpak tinggi

KUANTAN, 21 Julai 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) melaksanakan penjajaran semula melibatkan pemerkasaan penyelidikan, inovasi industri dan pengkomersialan dari segi peningkatan keupayaan, kapasiti penyelidikan yang lebih dinamik dan proaktif. 

Ini dilaksanakan melalui tadbir urus geran dan penawaran dana serta geran-geran baharu yang berimpak tinggi dengan objektif khusus untuk menghasilkan idea-idea baharu, memfokuskan isu strategik semasa negara, mendepani cabaran dan mengadaptasi Transformasi Digital menerusi Revolusi Industri 4.0.

Usaha ini menyaksikan transformasi agenda penyelidikan, inovasi industri dan pengkomersialan UMP diperkukuh dan diperkasakan seiring dengan Pelan Strategik UMP 2021–2025 yang dilaksanakan menerusi Objektif Strategik 2 iaitu Inovasi dengan Kolaborasi Industri dan Objektif Strategik 3 Penerokaan Teknologi Berimpak Tinggi.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, UMP menyediakan latihan kepada industri dengan menggunakan kepakaran dan teknologi yang dimiliki oleh UMP. 

UMP pergiat kolaborasi industri teroka teknologi berimpak tinggi

“Selain latihan teknikal, kerjasama dengan industri juga akan dibina bagi meningkatkan keupayaan teknikal industri dengan menggunakan kepakaran dan teknologi yang dimiliki oleh ahli akademik UMP.

“Kini, UMP telah berjaya mencapai sasaran dengan meningkatkan bilangan latihan teknikal bersama industri dan juga kendalian industri berbanding tahun sebelumnya. 

“Begitu juga dari aspek kerjasama naik taraf keupayaan teknikal industry.

“Sebanyak 20 Geran Pembangunan Produk (PDU Grant) telah diwujudkan untuk menghasilkan prototaip atau produk yang mampu berfungsi dengan menggabung jalin kepakaran penyelidik dalaman dan komponen sedia ada di pasaran,” katanya dalam Majlis Anugerah Cendekia Bitara 21. 

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan pengurusan tertinggi UMP.

UMP pergiat kolaborasi industri teroka teknologi berimpak tinggi

Sementara itu, menurut Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie, bagi perolehan dana daripada industri, UMP telah menerima dana sebanyak RM1.5 juta daripada industri dan syarikat swasta iaitu peningkatan sebanyak 77 peratus berbanding tahun 2020 iaitu sebanyak RM360 ribu. 

“Peningkatan yang tinggi ini menunjukkan kepercayaan pihak industri dan swasta kepada universiti dalam menaruh keyakinan untuk berkolaborasi.

“Manakala sebanyak RM 746,500.00 jumlah dana dikumpulkan dalam tahun 2021 di bawah Geran Padanan dalam komitmen UMP untuk menggalakkan hubungan rapat dan perkongsian kerjasama projek penyelidikan bersama industri.

“UMP menyasarkan lebih banyak pengkomersialan produk dan perkhidmatan teknikal melalui penubuhan syarikat keusahawanan staf akademik yang membina dan memasarkan produk buatan UMP (Teknousahawan) serta menawarkan perkhidmatan kepakaran kepada industri,” ujarnya.

Sehingga kini, sebanyak lima Syarikat Terbitan (Spin-Off) telah ditubuhkan melalui pengkomersialan teknologi atau produk UMP.

UMP turut memandang serius keperluan untuk melindungi harta inteleknya secara sistematik berdasarkan kerangka perundangan sedia ada demi kepentingan para penyelidik universiti. 

Manakala menerusi Pejabat Pengkomersialan  pula ia berjaya mengkomersialkan harta intelek melalui Penjualan Terus (Outright Sales) dua paten kepada syarikat Eastern Unity Technology Sdn. Bhd. (EUT) melalui perjanjian penjualan teknologi yang ditandatangani pada 11 Februari 2021 melibatkan nilai jualan bagi kedua-dua paten tersebut berjumlah RM1,300,000. 

Pada tahun lalu, sebanyak empat produk baharu iaitu Biofeedback, Pre-Pecto, BioRoot Tongkat Ali Capsule dan Iszuani Hongo berjaya dikomesialkan.

Keupayaan UMP meningkatkan penerbitan ilmiah berkualiti turut menunjukkan prestasi yang menggalakkan. 
Berdasarkan sumber Elsevier, Field-Weighted Citation Impact (FWCI) UMP mendahului universiti-universiti teknikal lain dengan skor 1.16. 

Jumlah sitasi yang melebihi jangkaan purata global sebanyak 16 peratus ini merupakan pencapaian yang amat dibanggakan dan menunjukkan bahawa UMP sentiasa komited dalam mengekalkan mutu pencapaian setiap tahun.
Lebih membanggakan apabila seramai 12 orang pensyarah UMP  tersenarai antara dua peratus saintis terbaik di dunia dalam pelbagai bidang dan disiplin berdasarkan data daripada Stanford University yang berpangkalan di Amerika Syarikat.   

Majlis menyaksikan seramai 221 penerima staf akademik yang telah mengharumkan nama UMP dalam bidang penyelidikan, penulisan dan pengajaran diraikan dalam majlis Anugerah Cendekia Bitara yang berlangsung di Hotel Zenith, Kuantan. 

Program yang bertemakan ‘Pillars of The New Dawn’ ini telah disempurnakan oleh  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Pekan, Tuan Mohd Sharim Md. Zain yang mewakili Menteri Besar Pahang. 

Dalam  ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penyelidik yang menerima anugerah kerana telah menyumbangkan kecemerlangan kepada universiti seterusnya kepada Malaysia.

“Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) memainkan peranan penting dalam kejayaan jangka panjang sesebuah universiti yang seterusnya diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi masing-masing. 

“Kerajaan juga turut mempromosikan strategi pertumbuhan dan aktiviti R&D yang menjana nilai ilmu dan ekonomi. 
“Ia penting untuk kesejahteraan negara agar membolehkan negara terus berdaya saing dalam ekonomi dunia,” ujarnya. 

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad. Idris dan Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri