Skip to main content

UMP terima MPV sumbangan Perodua

PEKAN, 28 Julai 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza sumbangan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA). Sumbangan kenderaan ini adalah sebagai penghargaan PERODUA terhadap UMP yang kekal sebagai universiti pertama yang menerima Sijil Bersih daripada Jabatan Audit Negara selama sepuluh tahun berturut- turut sejak tahun 2012 sehingga 2022.
 
Dalam majlis itu, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin menerima sumbangan replika kunci kenderaan dan cek bernilai RM10,000 daripada Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn. Bhd, JH Rozman Jaafar dalam Majlis Anugerah Hari Kualiti dan Inovasi 2022 yang berlangsung di Dewan Serbaguna UMP Pekan.  
 
Majlis dirasmikan oleh Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abu Musa Asa’ari Mohamed Nor. 
 
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, pihaknya menghargai pengiktirafan pihak Perodua kerana menganugerahkan UMP dengan sebuah Anugerah Khas kepada Jabatan Bendahari khasnya yang telah memberikan sepenuh komitmen dan tenaga kerja yang berkualiti tinggi, berkemahiran dan berpengetahuan sehingga mampu mengekalkan Sijil Bersih ini selama sepuluh tahun.

UMP terima MPV sumbangan Perodua

 
“Sijil Bersih Ketua Audit Negara ini mencerminkan sikap amanah dan tanggungjawab yang ditunjukkan dan ia harus diteruskan demi kesejahteraan semua warga UMP. 

“Ia juga memberi galakan kepada warga kerja UMP untuk memperkasa budaya kerja cemerlang.
 
“Sumbangan Perodua Alza serba baharu ini merupakan simbol pengiktirafan atas pencapaian UMP. “

Setinggi-tinggi tahniah kepada UMP atas usaha dan dedikasi mereka terhadap kualiti dan integriti seperti yang kami amalkan di Perodua,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad. 
 
Katanya, kami berharap pihak UMP akan terus mempertingkatkan lagi sifat murni ini agar menjadi contoh, bukan sahaja kepada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang lain, tetapi juga kepada semua sektor swasta dan awam.
 
“Nilai kualiti dan integriti merupakan asas penting di Perodua. 

“Ini kerana hanya tenaga kerja yang jujur, telus dan amanah sahaja dapat membina sebuah organisasi yang Berjaya,” katanya. 
 
Selain Anugerah Khas PERODUA, Sambutan Hari Kualiti dan Inovasi 2022 UMP pada hari ini menyaksikan seramai 294 warga kerja UMP menerima anugerah bagi penilaian tahun 2020 dan 2021 yang melibatkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Anugerah Kecemerlangan Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan, Anugerah Kecemerlangan Industri dan Masyarakat, Anugerah Sukan, Anugerah Personaliti Masyarakat, Anugerah Penulisan Rencana Terbaik, dan Anugerah Khas Hari Kualiti dan Inovasi 2022.
 
Penganjuran majlis itu juga sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan dalam membuktikan tahap pencapaian yang cemerlang melalui pembudayaan kualiti dan inovasi yang menjadi penggerak utama ke arah kecemerlangan organisasi.
 
Dalam pada itu, penganjuran majlis pada hari ini turut diserikan dengan perkongsian Pengasas dan Pengarah DTA Capital Partners, Dali Sardar untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan bersama warga kerja UMP untuk terus memacu UMP ke arah kegemilangan dalam kerangka Pelan Strategik UMP 2021-2025.
 
Turut berlangsung pelancaran Buku Panduan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) sebagai inisiatif penjenamaan semula amalan 5S bagi meningkatkan prestasi daya saing dan inovatif di sektor awam.

Majlis turut menyaksikan Anugerah Rakan Komuniti Terbaik 2021 dimenangi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Pahang dan Pejabat Kesihatan Daerah Pekan. 

Manakala Anugerah Rakan Komuniti 2020 dimenangi Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Etiqa Takaful. 

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit