Skip to main content

50 sertai Misi Kesukarelawanan Pascabanjir berkampung di Mentakab

MENTAKAB, 26 Disember 2021 - Berselut dan air berlumpur ibarat lautan 'teh tarik' ketika berada di beberapa lokasi banjir di Mentakab. 

Pelbagai kisah dikongsikan penduduk apabila menyedari air banjir mencecah bumbung rumah mereka di Taman Mentakab Indah pada Sabtu lalu. 

Walaupun taman ini pernah beberapa kali dilanda banjir, namun bagi pelajar UMP yang mengikuti pengajian di Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Mohamad Hakimi Mohd Nor yang tinggal bersama keluarganya sejak beberapa tahun di sini berkata, bencana kali ini agak luar biasa.

“Dalam masa yang cukup singkat, air semakin naik tinggi sehingga memaksa kami untuk berpindah dan mendapatkan perlindungan ke tempat yang lebih selamat. 

“Paras air paling tinggi direkodkan pada Januari lepas kira-kira sejengkal daripada siling rumahnya, namun pada kali pada kali ini melebihi atap di rumahnya. 

"Biasanya kami letak barang elektrik dan keperluan lain di bahagian siling yang dibina untuk banjir tetapi kali ini nampaknya tiada barang yang selamat, sebab rumah habis ditenggelami air," katanya. 

Ini adalah antara kisah yang dikongsikan pelajar UMP tatkala menerima kunjungan mahasiswa UMP dalam Program Misi Kesukarelawanan Pascabanjir di Mentakab baru-baru ini.

Bagi Putri Nur Farhanah Mohd. Shamsuddin yang rumahnya turut terjejas teruk akibat banjir, beliau dan keluarga terharu dengan kehadiran sukarelawan UMP bagi membantu membersihkan rumahnya yang ditenggelami banjir. 

“Bantuan daripada akan-rakan mahasiswa banyak membantu kami untuk mempercepatkan kerja-kerja pembersihan rumah.

“Melihatkan kerosakan yang dialami dan hampir keseluruhan barangan dipenuhi kotoran serta air berlumpur pastinya sukar untuk dibersihkan. 

“Apatah lagi usaha pembersihan terhalang akibat kekurangan bekalan air bersih,” ujarnya yang turut menerima bantuan daripada saudara-maranya dalam mendapatkan bekalan air bersih. 

Bagi sukarelawan UMP, Kong Heng Leong yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Industri di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), kekurangan air merupakan salah satu cabaran buat kumpulannya untuk meneruskan aktiviti pembersihan rumah yang berselut dan melekat pada bahagian dinding, lantai serta barangan keperluan rumah sehingga menyebabkan kebanyakannya terpaksa dibuang. 

Ujarnya, mereka terpaksa mengeluarkan semua barang-barang ke kawasan terbuka dan keadaan lebih sukar kerana lumpur telah kering dan melekat di perabot sehingga sukar untuk dibersihkan.    

Para sukarelawan juga sentiasa dinasihatkan agar menjaga kesihatan dan keselamatan semasa membuat aktiviti pembersihan dengan memakai sarung tangan getah dan pelitup muka. 

Pada hari ini, seramai 50 sukarelawan pelajar berada di Taman Mentakab Indah bagi membantu membersihkan rumah pelajar dan komuniti di sini. 

Program turut disertai Dekan Perkhidmatan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Profesor Madya Dr. Mansur Sulaiman, Pengurus Kanan JHEP, Haryani Abdullah dan Pengurus JHEP, Zainal Bahari. 

Selain membersihkan rumah, sukarelawan turut membantu mengagihkan barangan keperluan daripada pihak NGO di setiap rumah memandangkan di setiap lorong dipenuhi dengan timbunan barangan untuk dibuang sehingga menyukarkan mereka untuk bergerak dan keluar masuk kenderaan terganggu.  

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit