Skip to main content

50 sukarelawan KILAU UMP tanam 400 pokok di Tasik Chini

CHINI, 10 September 2022 - Seramai 50 sukarelawan KILAU Universiti Malaysia Pahang  (UMP) yang terdiri daripada pelajar dan staf Next Green Pulp and Papers (NGPP) menjayakan Program Penanaman Pokok Sempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di Tasik Chini, Pahang. 

Sebanyak 400 pokok yang terdiri daripada jenis Meranti Temak Nipis, Merawan Siput Jantan, Kasai dan Batai ditanam di sini. 

Menurut Penolong Naib Canselor, Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat UMP, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina  Noordin, program ini sebahagian daripada usaha UMP dalam menyokong Kempen penanaman pokok anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP). 

“Program ini juga sebahagian usaha UMP ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dengan memperkenalkan Projek Alam@UMP di  bawah Yayasan UMP  dengan kolaborasi pihak industri untuk menjayakan penanaman 5,000 pokok dalam tempoh lima tahun.

“Penglibatan UMP dalam program CSR  ini amat bermakna terutamanya dalam mencapai matlamat untuk memulihara alam sekitar melalui aktiviti penanaman pokok. 

50 sukarelawan KILAU UMP tanam 400 pokok di Tasik Chini

“Malahan dapat memperkasakan initiatif ini dengan menyampaikan mesej mengenai kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan warisan alam semula jadi kepada pelbagai lapisan masyarakat,” ujarnya. 

Di samping itu juga katanya, aktiviti ini turut menyumbang kepada kriteria dalam penarafan UI Green Metric. 

Pihaknya merakamkan penghargaan terima kasih atas sumbangan 1,000 anak pokok daripada Next Green Pulp and Papers Sdn. Bhd.  (NGPP) dalam menjayakan program ini. 

Hadir sama dalam program ialah Pengarah Urusan NGPP, Dato' Lim Thiam Huat. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi  Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit