Skip to main content

CSR pembersihan Pantai Pelindung PSM bersama trash hero Kuantan

KUANTAN, 13 Mei 2023 - Seramai 65 Sukarelawan UMP Kilau daripada Pusat Sains Matematik (PSM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam kalangan pelajar Asasi, pelajar Sarjana Muda Analitik Data dan staf membersihkan kawasan Pantai Pelindung yang kerap dikunjungi pengunjung. 

Program yang mendapat kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Trash Hero Kuantan ini berjaya mengutip sebanyak 213.3 kg sampah di sekitar pantai. 

Menurut Dekan PSM, Profesor Dr. Mohd Zuki Salleh, pihaknya akan menganalisis data yang diperoleh daripada hasil kutipan sampah pada hari ini dan juga daripada agensi kolaborasi bagi tujuan memberikan kesedaran pada orang awam tentang kepentingan menjaga kebersihan alam.

CSR pembersihan Pantai Pelindung PSM bersama trash hero Kuantan

“Selain itu, bakal menerbitkan laporan dalam bentuk data visualisation untuk dikongsi di sosial media bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kesan pembuangan sampah yang tidak terkawal pada bumi kita.

“Program CSR ini merupakan salah satu inisiatif PSM bagi membantu masyarakat di samping memelihara alam sekitar,” katanya yang hadir menyertai program. 

Turut sama mewakili pihak Trash Hero Kuantan adalah Anne Vendargon dan Syarifah Syazrah Syed Ab Mutalib. 

Bagi Profesor Dr. Mohd Zuki, sampah yang terdampar di pantai yang tidak dibersihkan bukan sahaja mencemarkan pemandangan malah mendatangkan kesan yang buruk terhadap ekosistem bagi haiwan di laut. 

Selain itu, program yang dijalankan ini bukan sahaja mampu memupuk rasa bertanggungjawab dan cinta akan alam sekitar kepada para pelajar, malahan merapatkan hubungan pelajar bersama staf PSM.

Disediakan oleh: Mimi  Rabita  Haji  Abdul  Wahit, Bahagian   Komunikasi  Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit