Skip to main content

Mini Karnival KPT Prihatin Keluarga Malaysia santuni penduduk Mersing

Mersing, 5 Mac 2022 - Penganjuran Program Mini Karnival KPT Prihatin Keluarga Malaysia yang berlangsung di Gelanggang Futsal Kampung Nelayan dan Dewan Terbuka Tenglu Laut, Mersing baru-baru ini memberi manfaat penduduk setempat mendapatkan pemeriksaan kesihatan, servis motor percuma dan mendapatkan informasi kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terutamanya bagi pelajar lepasan sekolah.

Terpancar kegembiraan pengunjung terutamanya kanak-kanak setelah sekian lama tiada sebarang aktiviti dijalankan berikutan penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara. 

Program anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu dijalankan dalam norma baharu bagi memastikan pengunjung yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ia mendapat kerjasama daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP), Hospital Universiti Sains Malaysia, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kolej Komuniti Bandar Penawar, Kolej Komuniti Rompin dan Politeknik Mersing.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, mini karnival ini juga merupakan platform dengan sasaran untuk menyampaikan maklumat tentang pengajian di institusi pengajian tinggi termasuklah penawaran Biasiswa Sulung Yayasan UMP.

“Dalam program ini, orang ramai berpeluang mendapatkan informasi tentang pengajian di Kolej Komuniti, Politeknik Mersing dan di UMP.

“Kita juga dapat menyampaikan kepada komuniti setempat mengenai peluang pelajar yang merupakan anak pertama dalam keluarga golongan B40 yang ditawarkan mengikuti pengajian program diploma dan ijazah di UMP dan berpeluang menerima biasiswa Sulung UMP ini.

“Inisiatif ini juga selari dengan hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam memperkenalkan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) bagi membantu mengubah landskap ekonomi keluarga selepas ada antara kalangan keluarga mereka terpilih menjejakkan kaki ke menara gading,” katanya yang hadir bertemu masyarakat di sini.

Bagi Ketua Kampung Tenglu Laut, Haji Jemali Othman, terdapat seramai 900 penduduk yang menghuni di kampung ini dan program sebegini pastinya dapat memberi kemudahan buat komuniti di sini menjalani pemeriksaan kesihatan dan menyertai kursus pengurusan jenazah yang dianjurkan pihak Kolej Komuniti Bandar Penawar.

Manakala bagi penduduk, Norhayati Nordin daripada Taman Tun Dr. Ismail Mersing berkata, mereka yang hadir juga berpeluang mengikuti kursus penanaman pokok Tower Plant daripada paip PVC yang dikongsikan tenaga pengajar daripada Kolej Komuniti Bandar Penawar. 

Mini Karnival KPT Prihatin Keluarga Malaysia santuni penduduk Mersing

UMP turut mengadakan Program Khidmat Komuniti (CSR) UMP Lighting Up The Community dengan pemasangan sistem lampu tumpu berkuasa suria bagi kemudahan komuniti di sini dengan menambah pencahayaan di wakaf Kampung Pengkalan Batu, Mersing.

Projek ini merupakan sebahagian daripada aktiviti bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 UMP yang akan dilaksanakan di sepanjang tahun ini seiring dengan slogan UMP ‘Teknologi untuk Masyarakat’.
 

Bagi Ketua Kampung Pengkalan Batu, Samsuri Yusof berkata, pihaknya bersyukur apabila lokasi ini turut dipilih dalam menyokong usaha yang menyumbang terhadap kelestarian dan penjimatan tenaga.

“Lebih bermakna wakaf yang sering dikunjungi ibu bapa yang menunggu anak-anak pulang dari sekolah kini mempunyai lampu dan mereka boleh mengecas telefon bimbit di sini,” katanya yang amat berterima kasih atas inisiatif program ini.

Turut sama Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pengkalan Batu, Rosli Jelani.

Sehingga kini sebanyak 30 lokasi telah terlibat dalam program ini termasuklah di Kampung Tekek Tioman, Kampung Perkampungan Orang Asli Rening, Cameron Highlands, Masjid Pekan Sri Medan dan Kampung Parit Singgahan Batu Pahat.

Ia turut dilaksanakan di Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS), Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Soi, Sekolah Kebangsaan Chini dan Sekolah Kebangsaan Runchang, Pekan.

Mini Karnival KPT Prihatin Keluarga Malaysia santuni penduduk Mersing

Pemasangan solar ini selari dengan program UMP yang bertunjangkan kepada Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) yang menjadi agenda global seiring dengan 17 matlamat yang perlu dicapai seperti yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk semua negara menjelang 2030.

Turut memeriahkan karnival pertandingan sukan sepak raga bulatan, bola jaring dan sepakan penalti serta sumbangan Prihatin KPT-UMP untuk membantu keluarga yang memerlukan di kedua-dua kampung ini.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit