Skip to main content

Sukarelawan KILAU UMP sumbang juadah sahur buat warga kota

KUALA Lumpur, 28 April 2022 - Seramai 40 sukarelawan KILAU Universiti Malaysia Pahang (UMP) membabitkan pelajar dan staf telah mengagihkan sebanyak 350 juadah sahur dan makanan dalam Program Singgah Sahur@Kuala Lumpur hari ini.

Program bermula dengan serahan bantuan keperluan keperluan diri seperti kit kebersihan, tuala dan makanan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL). 

Hadir menerima sumbangan ialah Pegawai Operasi PTGKL, Syed Anas Dato' Syed Ali.

Program ini adalah kesinambungan daripada program Singgah Sahur@Port Dickson dan Singgah Sahur@Kuantan yang berlangsung sejak awal Ramadan. 

Sukarelawan KILAU UMP sumbang juadah sahur buat warga kota

Sehingga kini, sebanyak 1,000 bungkusan sahur telah disumbangkan kepada penerima manfaat melibatkan ketiga-tiga program tersebut. 

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga merupakan Pengerusi Yayasan UMP, program ini membuka peluang kepada sukarelawan pelajar dan staf bersama-sama menzahirkan semangat kesukarelawanan membantu golongan gelandangan yang memerlukan perhatian masyarakat.

“Para sukarelawan mendapat pendedahan mengenai realiti sebagai barisan hadapan dan kehidupan golongan gelandangan di Kota Raya ini serta dapat menerapkan semangat kesukarelawanan dalam diri peserta,” katanya. 

Dalam pada itu sebanyak RM250,000 telah disumbangkan pihak Yayasan UMP bagi penyediaan iftar buat pelajar dan agihan sumbangan makanan dan bantuan kepada komuniti. 

Program Singgah Sahur ini diselaras oleh Sekretariat Sukarelawan Yayasan UMP di bawah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) bagi menunjukkan keprihatinan kepada golongan yang kurang bernasib baik dan penghargaan kepada kakitangan awam dari agensi-agensi kerajaan yang bertugas pada waktu malam.

Sementara itu, kunjungan UMP ke IPD Dang Wangi disambut ACP  Noor Dellhan Yahaya yang merupakan Ketua Polis Dang Wangi bersama barisan pegawai.
 
Turut sama dalam program, Dato’ Ts. Izwan Hasli Ibrahim dan Datin Nur Sharmila Shaheen yang merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP, Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Rusllim Mohamed dan Pendaftar, Saiful Bahri Ahmad Bakarim. 

Program berakhir dengan agihan makanan kepada gelandangan sekitar kota aya, pudu raya, Anjung Singgah dan Anjung Kelana bersama NGO Kindness Malaysia. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit