Skip to main content

UMP cakna hulur bantuan mangsa banjir

PEKAN, 20 Disember 2021 - Lanjutan hujan lebat yang melanda di negeri ini, beberapa lokasi telah dilanda banjir.

UMP telah membuka bilik gerakan bagi menyelaras bantuan buat warganya di kedua-dua kampus sejak tiga hari lalu.

Profesor Dato’ Ts Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor berkata hari pertama bilik gerakan bencana UMP di Gambang beroperasi dengan kapasiti terhad.

“Walaupun ramai petugas dan sukarelawan terlibat banjir dan terkandas kerana laluan terputus dan dinaiki air, ia tidak menjadi halangan buat mereka turun padang membantu demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan warga kampus terjaga.

“Pada masa ini, Jawatankuasa Bertindak Bencana UMP telah menggerakkan usaha membantu menyalurkan bantuan makanan buat staf dan pelajar termasuk memindahkan mereka yang terkesan akibat banjir ke tempat yang lebih selamat,” katanya.
 

UMP cakna hulur bantuan mangsa banjir

Ujar beliau yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan UMP berkata, pihaknya turut memperuntukkan sebanyak RM50,000 sebagai persediaan membantu mangsa banjir menerusi bantuan kecemasan bagi keperluan asas, barang dapur, kelengkapan selimut dan kit kebersihan kepada staf dan pelajar UMP yang terkesan.

Dalam pada itu, berdasarkan situasi semasa dan terkini banjir di Kuantan dan Pekan, paras ais di beberapa lokasi kediaman staf telah mulai surut.

Beliau mengalu-alukan setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) menggerakkan tenaga kerja PTJ masing-masing bagi membantu staf yang terkesan seperti membantu pembersihan digalakkan dan dialu-alukan.

Namun demikian, sebagai langkah kawalan dan keselamatan setiap kerja-kerja pembersihan dari pihak PTJ hendaklah dimaklumkan kepada Bilik Gerakan Pekan/Gambang bagi mengemas kini rekod pergerakan.

Sukarelawan juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi SOP Penularan COVID-19 bagi mengelakkan berlaku penularan.

UMP telah mengaktifkan bilik gerakan dan bagi yang memerlukan nasihat atau maklumat lanjut boleh menghubungi bilik gerakan bencana di talian 09-549 3333 (Gambang) atau 09-4246999 (Pekan) atau merujuk Info Bencana Banjir UMP di pautan https://www.ump.edu.my/en/banjir.

Pihak Yayasan UMP turut mengalu-alukan sumbangan kewangan daripada orang ramai, industri, NGO dan dermawan ke Tabung Bencana UMP.

Segala sumbangan boleh disalurkan melalui portal https://bit.ly/3mhgKUg atau melalui akaun Malayan Banking Berhad (Maybank) atas nama Yayasan UMP: 556235317085.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit