Skip to main content

UMP prihatin santuni anak-anak istimewa

Pekan, 22 Ogos 2020 - Bagi menyemarakkan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Universiti Malaysia Pahang (UMP), seramai 63 orang anak-anak istimewa telah dirai dan menerima bantuan dalam Program UMP Prihatin anjuran Yayasan UMP dengan kerjasama Pejabat Naib Canselor (PNC) baru-baru ini. 
Majlis serahan sumbangan disampaikan Pengerusi UMP, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad dan Pengerusi Yayasan UMP, Dato’ Sri Md. Sharif Shamsuddin. 
Turut hadir Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Yayasan UMP.
Dalam ucapannya, Dato’ Sri Md. Sharif berkata, program pada kali ini menyantuni anak-anak kelainan upaya sekitar komuniti dan masyarakat setempat termasuklah anak-anak staf UMP. 
“Yayasan UMP kini telah membelanjakan sebanyak RM2.2 juta untuk sumbangan insentif pelajar baharu bagi pembiayaan kemasukan ke universiti, insentif kecemerlangan dan juga biasiswa ijazah sarjana dan lain-lain yang dimanfaatkan bersama komuniti,” katanya.
“Saya amat mengharapkan agar lebih ramai akan menerima manfaat daripada Yayasan UMP dan kami juga turut menghargai sumbangan daripada badan-badan korporat, zakat dan juga pihak luar. 
“Dengan sumbangan yang diberikan kepada Yayasan UMP ini maka lebih ramai lagi akan menerima manfaat daripada Yayasan UMP ini,” ujar beliau. 
Sehingga kini, Yayasan UMP telah mengagihkan sebanyak RM9,056,195.00 kepada 70,464 orang penerima manfaat seperti pelajar cemerlang UMP, pelajar miskin, asnaf, B40, pelajar antarabangsa, komuniti setempat sama ada di sekitar negeri Pahang mahupun Malaysia serta kepada golongan yang memerlukan.
Sementara itu bagi Siti Hazwani Shuhaimi, 34, yang berkhidmat di UMP meluahkan perasaan berterima kasih dengan sumbangan dan keprihatinan universiti buatnya sekeluarga. 
“Anak saya, Nur Wanie Aisyah Rahim yang mengidap penyakit hydrocephalus dan Dandy–Walker sejak lahir kini berusia lapan tahun hanya boleh meminum susu dan mendengar sahaja. 
“Ketika bekerja, Aisyah akan dijaga oleh suami saya, Rahim Mat Noor yang kini merupakan pesara tentera,” katanya. 
Manakala seorang lagi penerima, Hafizah Mohamad Hamdan yang merupakan ibu kepada Muhammad Adam Ayrash Abdullah yang mengidap cerebral palsy sejak dilahirkan amat terharu dengan sumbangan yang diberikan oleh Yayasan UMP kerana sentiasa cakna dengan masyarakat setempat. 
Anaknya Muhammad Adam merupakan murid Sekolah Kebangsaan Serandu yang sebelum ini pernah menerima kerusi roda khas (Adam’s Chair) yang dihasilkan oleh mahasiswa dan sekumpulan pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA).
Yayasan UMP yang dahulu dikenali sebagai MyGift UMP telah ditubuhkan pada 1 Oktober 2016. 
Ia ditubuhkan bertujuan untuk mengumpul dana daripada orang ramai, syarikat atau institusi bagi kegunaan kebajikan pelajar UMP dengan membiayai program pendidikan, kemasyarakatan dan penyediaan kemudahan pembelajaran tambahan yang diguna pakai oleh pelajar dan universiti.
Kini, Yayasan UMP juga memperluaskan agihan dana dengan memperkenalkan biasiswa kepada pelajar pascasiswazah bagi membantu pelajar dalam urusan pembayaran yuran pengajian dan mengurangkan beban perbelanjaan serta wang saku sepanjang mengharungi ranjau kehidupan pengajian penyelidikan di universiti.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Perhubungan Awam, Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris