Skip to main content

Yayasan UMP terima infak 32,000 naskhah buku bernilai RM200,000

PEKAN, 11 Mac 2021 - Yayasan UMP menerima sumbangan infak sebanyak 32,000 naskhah buku latihan Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) bernilai RM200,000.00 hasil kerjasama pihak SME Corporation Malaysia dan Fateh Resources Holdings Sdn. Bhd. yang merupakan pengedar tunggal buku-buku agama KAFA serta penerbitan Syarikat Fargoes Sdn. Bhd.

Lebih 4,000 orang pelajar prasekolah dan sekolah rendah sekitar negeri Pahang khususnya di daerah Pekan bakal menerima manfaat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga Pengerusi Yayasan UMP, ilmu ini penting untuk memupuk perkara asas khususnya bagi anak-anak berdepan cabaran baharu pada masa akan datang agar mereka ini berupaya menjadi pemimpin masa hadapan.

“Pihak universiti dan Yayasan UMP menghargai sumbangan buku-buku ini untuk diedarkan kepada pelajar sekolah.

“Kita juga turut menerima banyak sumbangan daripada pihak luar termasuklah daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang sentiasa menyokong dengan menyalurkan bantuan meringankan beban pelajar,” katanya dalam Program UMP Prihatin - Pilih Untuk Berkongsi yang berlangsung di Perpustakaan UMP, Pekan.

Dalam majlis itu juga, Pengarah Urusan Fateh Resources Holding Sdn. Bhd., Rosli Omar menyampaikan sumbangan kepada Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz dengan disaksikan Pengerusi SME Corporation Malaysia, Dato’ Sri Syed Hussien Al Habshee.

Turut berlangsung penyerahan bantuan zakat oleh Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato’ Ahmad Hairi Hussain yang juga merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP berjumlah RM133,810.00 untuk manfaat pelajar UMP hasil sumbangan zakat staf untuk diagihkan kepada pelajar berkeperluan dan staf terutamanya dalam kalangan keluarga B40.

Ujar Tan Sri Dato Sri Dr. Abdul Aziz, kerjasama dengan pihak MUIP juga telah memanfaatkan pelajar UMP dalam projek pembangunan Kolej Kediaman Mawaddah yang merupakan inisiatif pengurusan universiti bersama MUIP dalam usaha membantu pelajar yang mempunyai masalah kewangan serta kos sewa rumah yang semakin meningkat.

“Bangunan yang didirikan di UMP Pekan ini akan memberi manfaat kepada seramai 220 orang mahasiswa dari golongan anak yatim dan asnaf serta dijangka siap sepenuhnya pada awal Januari 2022,” katanya.

Sementara itu Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff berkata, ekosistem universiti berubah bukan sahaja dalam pendidikan tinggi namun kini lebih luas yang memerlukan setiap universiti perlu memikirkan tentang agenda kesukarelawanan, pembiayaan, kebolehpasaran graduan dan juga bantuan untuk disampaikan kepada masyarakat.

Pihaknya mengucapkan terima kasih atas segala bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak dalam usaha menjayakan ekosistem universiti yang menjadi harapan kepada masyarakat.

UMP juga merupakan salah satu universiti awam (UA) yang bakal bekerjasama dengan pihak SME Corporation Malaysia dalam merangka rangka kerja keusahawanan baharu yang diterima dalam pasaran baharu. 

Pada setiap tahun, seramai 120,000 orang graduan dihasilkan di Malaysia dan sebanyak 30 peratus daripadanya didapati tidak mendapat pekerjaan.

Dalam menjalankan tanggungjawab sosial, SME Corporation Malaysia dengan kerjasama Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) akan mengadakan perbincangan dengan lima universiti terpilih dalam menyediakan program latihan bagi membantu graduan mendapat peluang pekerjaan.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit