Skip to main content

2 graduan sarat hamil hadir majlis konvo UMP

KUANTAN 19 Mac 2022 - Dua orang graduan yang sarat mengandung  mencuri perhatian apabila berpeluang menghadiri Majlis Konvokesyen Ke-15 UMP bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan hari ini.

Nur Syafiqah Suardi, 26 merupakan graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Farmaseutikal)  yang sedang mengandung anak sulung itu  dijangka akan bersalin pada 31 Mac ini.

Ujarnya, walaupun menghitung hari, Alhamdulillah beliau masih berpeluang untuk meraikan hari konvokesyen yang  telah lama dinanti.

“Hampir dua tahun menanti majlis ini dan tidak sangka akan naik pentas dengan berbadan dua untuk menerima ijazah.

2 graduan sarat hamil hadir majlis konvo UMP

“Pada awalnya, saya agak serba salah juga untuk hadir dengan keadaan sarat di samping  khuatir dengan  risiko wabak Covid-19. 

“Namun, saya tawakal dan mengikut SOP yang telah ditetapkan dan merasakan ia adalah hadiah terindah sebelum bersalin,” kata graduan Sarjana Muda Pengurusan Industri itu.

Manakala Nur Alfira Nabila Md Bukhari, 25 yang juga hamil 34 minggu amat teruja dan sanggup hadir ke majlis  ini kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk sama-sama meraikan hari graduasi ini rakan-rakan.

2 graduan sarat hamil hadir majlis konvo UMP

“Dengan menghadiri majlis konvokesyen ini, saya anggap ia sebagai ganjaran perjuangan selama empat tahun bersama rakan-rakan dalam menuntut ilmu di UMP.

“Kejayaan ini juga ingin saya hadiahkan kepada kedua ibu bapa, keluarga dan suami yang telah banyak berkorban sepanjang menyambung pengajian di UMP,” katanya yang dijangkakan bersalin pada penghujung April nanti.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris