Skip to main content

24 tenaga pengajar IKM tajaan MARA bergraduasi

KUANTAN, 19 Mac 2022 - Empat tahun berulang alik dari Melaka ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) Pekan, yang memakan masa perjalanan sejauh hampir 482 kilometer pada setiap minggu, bukanlah suatu perkara yang mudah. 

Namun, itulah yang perlu dihadapi oleh sekumpulan 25 tenaga pengajar Institut Kemahiran MARA (IKM) demi mendapatkan segulung ijazah.

Pelbagai pengalaman pahit manis yang terpaksa dilalui dan ditambah pula dengan usia yang kian bertambah, hampir sahaja mereka berhasrat untuk berhenti belajar di pertengahan jalan. 

Mengimbau kembali detik itu, salah seorang daripada mereka, Zulkifli Sayuti, 49, berkata sepanjang tempoh berkenaan beliau terpaksa menempuhi tiga peristiwa kematian yang amat mengguris hatinya. 

Kehilangan bapa yang dikasihi akibat strok hampir membuatnya berputus asa apatah lagi ketika pemergian bapanya beliau tidak sempat menguruskan jenazah Allahyarham kerana sedang menduduki peperiksaan di UMP. 

"Perkara ini hampir membuatkan saya berputus asa kerana terkilan tidak dapat menemani Allahyarham di saat akhir. 

“Saya hanya sempat menjaganya selama tiga tahun namun takdir Allah, ketika beliau menghembuskan nafas terakhir, saya tiada di sisinya. 

"Tidak lama kemudian, bapa mertua pula meninggal dunia akibat kanser usus. 

“Dua kejadian ini begitu meruntun hati saya, namun sahabat baik, Rosli Khamis, yang berusaha memujuk supaya tidak berhenti belajar. 

"Namun, siapa sangka beliau pula yang meninggalkan kami akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke Johor Baharu selepas menghadiri kelas di UMP ketika tahun dua pengajian kami di sini," katanya sebak. 

Zulkifli yang ditemui ketika penerimaan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dan Pembuatan di Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini, semalam, berkata, beliau dan rakannya menitiskan air mata selepas setiap pengorbanan mereka akhirnya terbalas apabila berjaya memperoleh ijazah berkenaan. 

"Kami amat berterima kasih kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) atas kesudian mereka menaja sepenuhnya pembelajaran kami di sini dan galakan daripada mereka supaya tenaga pengajar IKM mempunyai ijazah. 

"Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) bukanlah lagi pendidikan kelas ketiga kerana di sini pelajar yang mempunyai sijil dan diploma boleh menyambung pelajaran di peringkat ijazah di universiti, malah pelajar TVET juga lebih berpengalaman memandangkan mereka telah dibekalkan dengan ilmu secara latihan (hands-on)," katanya.

Disediakan oleh: Shalfarina Shahriman, Penerbit UMP

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News