Skip to main content

45 graduan CBTM program kerjasama UMP dan AKEPT tingkat kompentensi bakat kepimpinan

KUANTAN, 20 Mac 2022- Seramai 45 graduan program kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di bawah agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) menerima diploma masing-masing yang disampaikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin bersempena Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 semalam.

Program dilaksanakan melalui Pusat Pengajian Sepanjang Hayat, UMP Advanced yang berjaya melahirkan graduan dalam bidang Diploma Profesional Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi (CBTM).

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts Dr. Yuserrie Zainuddin, pelaksanaan pembangunan modal insan dan pengurusan bakat ini selaras dengan kepentingan pembangunan sumber manusia pendidikan tinggi dan dunia kesarjanaan ke arah pemantapan penyampaian kerja berprestasi tinggi pada masa depan.

“Agenda pengurusan dan pemerkasaan bakat kepimpinan adalah penting dalam ekosistem organisasi dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) selari dengan hasrat AKEPT yang mana kompetensi menjadi tonggak dalam membudayakan pengurusan bakat yang berwibawa di Universiti Awam (UA),” katanya.

Beliau hadir menyampaikan diploma dan ijazah kepada graduan UMP Advanced yang menyaksikan seramai 958 orang graduan terdiri daripada 510 graduan Ijazah Master Eksekutif dan 448 graduan Ijazah Bacelor Eksekutif dan Diploma Profesional pada sesi keenam dan ketujuh Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-15.

Bagi Pendaftar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Mazula Sabudin yang juga hadir menerima diploma CBTM, pendedahan kepada ilmu sumber manusia dengan sepuluh modul yang ditetapkan  ini mampu melahirkan pegawai yang lebih kompeten dalam pengurusan bakat yang lebih berstruktur.

Ujarnya, usaha ini akan memperkasakan pengurusan bakat kepimpinan berteraskan kompetensi dengan lebih holistik dan objektif bagi mencapai kelestarian pengurusan bakat kepimpinan.

“Pembelajaran teradun ini merupakan satu kaedah yang menggabungkan pendekatan pembelajaran mod bersemuka (face to face) dan pembelajaran mod dalam talian (online),” katanya.

Beliau mengharapkan agar usaha AKEPT-UMP ini berterusan bagi merencanakan agenda kelangsungan kepimpinan UA yang berwibawa untuk kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Sementara itu, Profesor Dr. Rohaya Mohd Nor yang merupakan Pengarah Pusat Kepimpinan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata, program ini sangat membantu dalam mengaplikasikan pengetahuan dalam mengatur produktiviti gerak kerja harian.

Beliau sangat komited ketika menghadiri kelas dan mengikuti semua modul yang disediakan sehingga berjaya memperoleh CGPA 3.97 yang merupakan pencapaian yang sangat berharga buat dirinya.   

Manakala bagi Timbalan Pendaftar Kanan, Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ts. Mohd. Rafizi Rahmat yang juga Timbalan Presiden 1 di Institut Pengurusan Sumber Manusia berkata, pembelajaran ini suatu pengalaman baharu yang sangat memberi manfaat secara spesifik kepada tugas dan tanggungjawabnya di UiTM.

“Program ini banyak memberi pendedahan dan maklumat yang terkini dalam pengurusan bakat sumber manusia serta juga meningkatkan jaringan kerja dengan pengurus bakat di UA yang lain.

Begitu juga dengan graduan CBTM yang merupakan Presiden Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI), Yang Mulia Raja Shah Erman Raja Arifin daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata, CBTM merupakan platform terbaik hasil idea asli dan kreatif AKEPT dengan iltizam padu dari UMP berupaya meningkatkan kompetensi pengurus bakat UA selari dengan pendekatan sumber manusia terkini.

“Ini adalah kejayaan dalam melonjakkan dan memperkasakan bakat pentadbir awam yang memberi pendedahan serta maklumat yang terkini dalam pengurusan bakat sumber manusia. 

“Selain itu, dapat meningkatkan jaringan kerjasama antara institusi awam di Malaysia,” katanya.

Majlis yang berlangsung secara norma baharu ini berjalan lancar dan disambut meriah dalam kalangan graduan yang menantikan hari bersejarah ini setelah tamat pengajian sejak dua tahun lalu. 

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Advanced, Dato’ Mohd Sharil Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif UMP Advanced, Profesor Madya Dr. Mohd. Rusllim Mohamed.  

Dalam pada itu, UMP meraikan seramai  3,556 graduan dalam Majlis Konvokesyen UMP  Ke-15 yang berlangsung selama empat hari bermula 17 Mac dan melabuhkan tirai pada 20 Mac dalam acara yang diadakan di  Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Disediakan oleh: Sakinah Abdullah, UMP Advanced dan Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit