Skip to main content

4,535 graduan UMP bakal dirai dalam MKK17 mulai Sabtu ini

KUANTAN, 5 November 2022 - Seramai 4,535 orang graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal bergraduasi dalam Majlis Konvokesyen Ke-17 UMP mulai 5 hingga 8 November 2022 di UMP Kampus Gambang atau kini dikenali sebagai UMP Paya Besar.

Graduan terdiri daripada graduan doktor falsafah (66) dan sarjana (185), graduan sarjana muda (2,509) dan diploma (556) serta graduan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat di UMP Advanced (1,219) menerima ijazah dan diploma masing-masing.

Daripada jumlah tersebut, seramai 90 orang merupakan graduan antarabangsa dari 17 buah negara.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor akan menyempurnakan penganugerahan ijazah dan anugerah kecemerlangan kepada seramai 199 orang penerima ijazah sarjana dan kedoktoran termasuk 14 anugerah dan hadiah kecemerlangan bersempena majlis konvokesyen yang akan berlangsung pada sesi pertama nanti.

“Manakala seramai 832 orang penerima ijazah sarjana dan kedoktoran termasuk 43 orang penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan pada sesi kedua menjadikan seramai 1,031 orang graduan pada hari pertama (5 November 2022) Majlis Konvokesyen Ke-17.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 35 orang graduan menerima dua ijazah dalam program Ijazah Dual UMP-HKA hasil kerjasama UMP dengan Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) Jerman yang kini memasuki tahun ke-12 dengan memfokuskan bidang Kejuruteraan Automatif dan Kejuruteraan Mekatronik.

“Manakala dengan Hochschule Reutlingen (HsRT) bagi bidang Kejuruteraan Perniagaan,” katanya dalam Sidang Media Memperkenalkan Graduan UMP yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMP Paya Besar.

Sementara itu, pada hari kedua (6 November 2022) seramai 883 orang graduan menerima ijazah pada sesi ketiga dan 846 orang pada sesi keempat menjadikan jumlah hari kedua (Ahad) seramai 1,729 orang graduan menerima daripada Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie juga akan menyampaikan ijazah pada hari ketiga, 8 November 2022 (Selasa) melibatkan 1,775 orang graduan; 1,059 orang graduan pada sesi kelima dan 716 graduan UMP Advanced sesi keenam.

Beliau turut berkongsi kejayaan UMP di peringkat global apabila Best Global Universities Ranking 2022-2023 oleh U.S.News & World Report menyenaraikan lima subjek UMP terbaik dunia iaitu Subjek Tenaga dan Bahan Api (161), Kejuruteraan Kimia (201), Kejuruteraan (256), Sains Bahan (634) dan Kimia (637).

Secara keseluruhannya, UMP berada di tangga ke-922 bagi penarafan tahun 2022 hingga 2023 dan bagi kedudukan di Asia, UMP berada di tangga ke-269 serta di kedudukan ke-8 di Malaysia.

Selain itu juga, seramai 22 orang penyelidik UMP tersenarai dua peratus saintis terbaik dunia bagi dua kategori pencapaian.

Daripada jumlah tersebut, seramai tujuh orang penyelidik tersenarai bagi kategori Pencapaian Sepanjang Kerjaya dan seramai 21 orang penyelidik UMP tersenarai dalam Pencapaian Satu Tahun (Single Year Achievement).

Pengiktirafan ini merujuk kepada data yang dikeluarkan oleh Elsevier BV, Stanford University yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Dalam memastikan graduan berdaya saing pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuklah menjalankan kerjasama dengan industri.

Ujarnya, UMP dan Yayasan UMP juga memeterai perjanjian bersama Malaysian Engineering Community (MEC) Jerman bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan menerusi pelaksanaan German Industry Employability Programme (GIEP) yang bakal memanfaatkan pelajar bagi penempatan kerjaya di Jerman.

“Kerjasama ini dapat membangunkan satu hab kerjaya antarabangsa sebagai one-stop center bagi pembangunan pelajar dan graduan UMP berkaitan kerjaya antarabangsa.

“Inisiatif ini turut dapat meningkatkan nilai tambah untuk memastikan pelajar mahir teknologi selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) terutama dalam kecerdasan buatan (AI) dan internet benda (IoT),” katanya.

Program Ijazah Dual UMP melibatkan kerjasama institusi Jerman iaitu Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA), Mannheim University of Applied Sciences (HsMA), dan Reutlingen University (HsRT).

Manakala program ijazah dual bersama Kazakh National Agrarian University (KAZNAU) Kazakhstan, Beijing Jiaotong University (BJTU) China dan Tianjin University (TJU) China pula bakal diperluas ke Amerika Syarikat dan Korea.

Hadir sama dalam majlis Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Pengarah Pusat Pengurusan Akademik, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Shahrir Mohd Sani, Pegawai Undang-undang, Marlina Mamat dan Ketua Pustakawan, Azman Abdul Rahim.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit