Skip to main content
Ibu bapa penyumbang terbesar kejayaan Lee Chee Ho, penerima Anugerah Canselor

Ibu bapa penyumbang terbesar kejayaan Lee Chee Ho, penerima Anugerah Canselor

KUANTAN, 17 Mac 2022 – “Jangan takut untuk melakukan kesilapan kerana kesilapan adalah sesuatu yang akhirnya membawa kita mencapai kejayaan dalam hidup. 

“Satu-satunya perkara yang menghalang kita sekarang adalah cara kita berfikir,” ujarnya.

Begitulah prinsip hidup penerima Anugerah Canselor, Lee Chee Ho, 26, yang dilahirkan pada 16 Februari 1996 dan kini bekerja sebagai Jurutera Perisian di B2BE GSS Sdn. Bhd.
 
Anak jati kelahiran Selangor ini merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian dari Fakulti Komputeran (FK) dengan PNGK 3.89.  

Beliau merupakan anak bongsu daripada tiga adik orang adik-beradik. 

Sejak kecil lagi, beliau menghabiskan masanya dengan bermain alat muzik seperti gitar dan piano.
 
Di UMP, beliau turut bergiat aktif dalam persatuan dan pernah dilantik sebagai Exco Persatuan Teknologi Komputer (PETAKOM UMP). 

Anugerah Canselor

Selain itu, pada tahun 2018 hingga 2019, beliau dilantik sebagai wakil rakan pelajar Microsoft untuk UMP bagi menggalakkan pelajar UMP mengambil peluang untuk mendedahkan kepada teknologi dan program Microsoft yang ada.
 
Kejayaan manis yang tidak dapat dilupakan adalah apabila beliau mendapat tempat pertama projek sarjana muda bagi FYPro-Com Exhibition Semester I, 2019/2020.
 
Katanya, sepanjang pengajian di UMP, beliau tidak berasa sebarang kesulitan kerana pada pendapat beliau, UMP mempunyai kemudahan yang lengkap dari segi penginapan, makanan dan alatan pembelajaran yang diperlukan untuk menimba ilmu seperti mempunyai perpustakaan yang yang canggih.
 
“Keluarga terutamanya ibu bapa merupakan penyumbang terbesar kejayaan saya pada hari ini  tanpa lelah yang banyak membantu dan memberikan sokongan. 

“Selain itu, tenaga pengajar di UMP juga sangat membantu dan selalu mendekati pelajar bagi memberikan bimbingan dan tunjuk ajar. 

“Penasihat akademik, Dr. Hasan Kahtan Khalaf selalu membimbing saya,” katanya.
 
Tambahnya lagi, setiap saat di universiti perlu dihargai sebaiknya kerana universiti bukan sahaja tempat untuk belajar tetapi adalah tempat untuk menikmati, berkembang dan mencuba perkara baharu sekali gus yang akan mencorak masa hadapan yang lebih baik.
 
Beliau berharap agar dengan kemahiran yang beliau peroleh di UMP sama ada secara teknikal atau teori boleh terus membantu beliau untuk terus cemerlang dan pada masa yang sama memberi kemudahan kepada masyarakat berkaitan teknologi terkini.
 
Kini, beliau dipertanggungjawabkan dalam pelbagai jenis pembangunan perisian iaitu terlibat dalam membangun, menguji, meningkat dan menyemak perisian yang akan digunakan di syarikat.

Disediakan Oleh: Nurul Ateeqah Othman, Jabatan Perundangan

Reports by:
Admin UMP News