Skip to main content

Nur Syuhada penerima Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita aktif berpersatuan

KUANTAN, 18 Mac 2022 - Bergiat aktif dalam kokurikulum dan persatuan tidak menghalang Nur Syuhadah Abu, 25, untuk memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 dan sekali gus meraih Ijazah Kelas Pertama sepanjang pengajiannya di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Nur Syuhada yang merupakan pelajar di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) sering meraih Anugerah Dekan pada setiap semester. 

Hal ini melayakkan beliau menerima Anugerah Prihatin Komuniti Puspanita 2020 yang berlangsung di Majlis Konvokesyen UMP Ke-15 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini semalam.

Katanya, kenangan terpilih sebagai sukarelawan di dalam program mobiliti pelajar ke Acheh dan Kemboja pada 2018 dan 2019 adalah yang paling indah buat dirinya. 

“Ini adalah kerana saya berpeluang untuk mempelajari sosiobudaya dan ekonomi masyarakat di negara terbabit.

“Selain itu, saya juga turut terlibat menjadi fasilitator di dalam program orientasi pelajar baharu (MINDs) dan bertugas sebagai ahli jawatankuasa Konvokesyen UMP pada 2019,” katanya yang merupakan anak kedua dari lima beradik.

Beliau yang kini melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam Kejuruteraan Elektrikal di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), menjelaskan walaupun aktif dalam program persatuannya, namun pelajaran tetap menjadi keutamaan beliau.

Katanya, beliau perlu bijak membahagikan masa supaya tumpuan terhadap pelajaran tidak terabai dan meraih kejayaan yang cemerlang demi memenuhi impian kedua ibu bapa.

“Saya percaya pada usaha yang berterusan dan bertawakal membolehkan kita untuk mendapat rahmat Allah SWT. 

“Masing-masing mempunyai kesulitan namun kepada Allah SWT jualah kita memohon pengampunan dan diberi kemudahan di dalam urusan masing-masing,” katanya mengakhiri perbualan.

Disediakan oleh: Shalfarina Shahriman, Penerbit UMP

Reports by:
Admin UMP News