Skip to main content

Nurain terima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Hadiah Kecemerlangan Dual Ijazah

KUANTAN, 17 Mac 2022 - Graduan Dual Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif - (Program Kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Sciences, Jerman) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Nurain Rozy menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) dan Hadiah Kecemerlangan Dual Ijazah dalam Majlis Konvokesyen Ke-15 Universiti Malaysia Pahang (UMP).
 
Anugerah dan hadiah disampaikan Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor dalam majlis yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
 
Nurain yang merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik berjaya meraih PNGK 3.67. 

Beliau juga merupakan graduan Kolej MARA Kulim pada tahun 2015 sebelum melanjutkan pelajaran di UMP.  

Nurain terima Anugerah Pelajaran Diraja

Katanya, banyak pengalaman berharga apabila diberi peluang menjalani pengajian di IKKU Laboratory, Hochschule Karlsruhe, Jerman selama enam bulan dan saya berjaya menyiapkan projek tahun akhir. 

“Pada semester tersebut banyak cabaran yang dilalui seperti perlu menyesuaikan diri di tempat orang dan tempoh masa yang terhad,” katanya yang merupakan penerima Biasiswa Baden-Württemberg pada tahun 2019 dan 2020.
 
Pengalaman menjalani latihan industri di Continental Automotive Components Sdn. Bhd turut banyak membantunya dalam dunia pekerjaan dan kini beliau merupakan jurutera di Jabatan Kualiti, Sime Darby Auto Engineering Sdn. Bhd., Kulim Kedah.
 
“Antara tugasan sebagai Jurutera Kualiti adalah mengawal selia dan memastikan produk yang dihasilkan adalah mengikut standard kualiti yang telah ditetapkan oleh pelanggan. 

“Tugasan yang dilaksanakan adalah seiring dengan apa yang dipelajari sebagai mahasiswa Kejuruteraan Automotif di UMP,” ujarnya.

Nurain terima Anugerah Pelajaran Diraja

 
Beliau juga mempunyai minat yang sangat mendalam dalam seni mempertahankan diri sehingga dilantik sebagai Naib Presiden Kelab Tae Kwan Do ITF UMP (pemegang third dan Black Belt). 

Nurain turut mengikuti kursus Pengadil Kebangsaan ITF Malaysia (2017) dan Kursus Pengajar Kebangsaan ITF (2016).

Beliau memanfaatkan kehidupan aktif siswanya dengan menyertai kelab-kelab lain seperti Kelab Genesis, teater dan silat serta dilantik sebagai Naib Presiden Kelab Komuniti UMP-HsKA (2017 hingga 2018).
 
Tambahnya, keluarga merupakan penyumbang terbesar kejayaannya dan mereka banyak memberi dorongan dan sokongan. 

“Begitu juga dengan pensyarah dan rakan-rakan yang sentiasa berada di sisi di kala susah dan senang,” ujarnya. 
 
Beliau turut menitipkan ungkapan motivasi kepada para mahasiswa di UMP yang masih berjuang dalam menamatkan pengajian dan mendoakan mereka agar sentiasa bersemangat untuk berjaya. 

Di samping itu, beliau turut menasihati mahasiswa agar menikmati setiap detik kehidupan sebagai seorang pelajar di universiti kerana kenangan menjadi seorang pelajar adalah antara kenangan yang terindah di dalam hidup seseorang.
 
Turut sama menerima Hadiah Kecemerlangan Dual Ijazah ialah Danial Haris Limi Hawari yang merupakan graduan Dual Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekatronik - (Program Kerjasama Dengan Karlsruhe University of Applied Science Jerman).

Disediakan oleh: Halizan Mohmood, Pusat Keusahawanan dan Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Admin UMP News