Skip to main content

Nurul anak tukang jahit penerima Anugerah Kecemerlangan Telekom

KUANTAN, 17 Mac 2020 - Kecekalan dan ketabahan ibu menjadi pendorong dan inspirasi buat Nurul Md Yunus, 26, yang terpilih menerima Anugerah kecemerlangan Telekom Malaysia Berhad pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-15 baru-baru ini.

Graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Elektrikal) dengan Kepujian itu berkata, kesungguhan ibunya mencari rezeki dengan menjahit pakaian untuk membesarkannya empat beradik menjadi pencetus semangat untuk dirinya mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

“Kejayaan hari ini saya ingin hadiahkan kepada ibu saya menjadi pendorong terbesar saya untuk berjaya dan yang sentiasa membantu dalam pelbagai perkara termasuk motivasi dan kewangan.

“Malahan, titipan nasihat ibu sentiasa menjadi pegangan hidup saya.

“Menurut ibu saya hanya taraf pendidikan yang akan mengubah nasib dan kehidupan seseorang,” katanya.

Tambahnya lagi, kejayaan terbesar yang tidak boleh dilupakan adalah ketika pertama kali mendapat Anugerah Dekan kerana beliau tidak menyangka berjaya memperolehnya.

Ujar Nurul, beliau merupakan pelajar yang mengambil kursus Teknologi Kejuruteraan (Elektrikal) dan semasa Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) saya mengambil jurusan Sains Hayat.

Berkongsi pengalamannya, ketika belajar dahulu beliau tidak mengambil subjek Fizik. 

Justeru, kawan-kawannya banyak membantu dengan mengadakan ulang kaji berkaitan Fizik, litar elektrik dan lain-lain lagi sehingga berjaya menguasai subjek tersebut.

Beliau juga kongsikan tip kejayaannya agar jangan mengalah sebelum mencuba, sentiasa berfikiran positif, jangan malu bertanya kepada yang lebih pakar jika ada permasalahan atau tidak faham akan sesuatu.

Ujar Nurul, kini beliau sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana Sains di UMP. 

“UMP merupakan sebuah universiti yang terbaik dan saya menjejaki langkah abang saya yang juga merupakan alumni UMP sekitar tahun 2019.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kawan-kawan dan pensyarah yang sentiasa membantu dan memberi dorongan  kepada saya selama ini,” katanya.

Harapannya agar terus menimba ilmu dan dapat menyumbang segala kepakaran yang diperoleh kepada keluarga dan masyarakat.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Admin UMP News