Skip to main content
Raikan kegembiraan berganda, graduan lalui detik cemas isteri sakit bersalin 

Raikan kegembiraan berganda, graduan lalui detik cemas isteri sakit bersalin 

PAYA BESAR, 9 Ogos 2022 - Tiada siapa menduga keriangan mendapat skrol di atas pentas bertukar menjadi cemas apabila mendapat tahu isteri yang hadir sama di dalam dewan menyaksikan detik bersejarah ini tiba-tiba mengalami tanda sakit hendak bersalin.

Bagi Mohd Apis Sagimin, 40 yang merupakan graduan Master Eksekutif Pengurusan Projek dan Operasi berkata, seusai sahaja turun dari pentas beliau telah menerima mesej dari isterinya, Nor Azizah Yahya, 39 yang mengalami tanda untuk bersalin lalu menyampaikan hasratnya kepada petugas untuk keluar awal meninggalkan dewan lebih awal walaupun Majlis Konvokesyen UMP Ke-16 masih bersidang.

Pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas kesihatan UMP yang turut membantu dengan membawa isteri keluar dari dewan dengan berkerusi roda.

Malahan, petugas keselamatan pula mengiringi kenderaannya ke tempat pemulangan jubah dan keluar dari kesesakan sepanjang jalan dalam kawasan UMP.

Tambahnya, sedikit pun beliau tidak menyangka isterinya akan sakit hendak bersalin pada tarikh tersebut memandangkan pada awalnya masih tiada tanda-tanda untuk bersalin tarikh jangkaan bukan dalam masa terdekat.

Raikan kegembiraan berganda, graduan lalui detik cemas isteri sakit bersalin 

Memandangkan beliau dan isteri telah membuat perancangan untuk bersalin di Hospital Penawar Pasir Gudang, jadi mereka mengambil keputusan untuk balik ke Johor.

“Di sepanjang jalan selama lima jam perjalanan itu kami sentiasa berdoa dan memantau keadaan isteri. 

“Alhamdulillah, kami sempat sampai di hospital tersebut dan isteri telah melahirkan anak kami yang keempat ini pada 10 Ogos jam 1.25 petang,” katanya.

Bagi Apis, beliau bersyukur kerana isteri dan anaknya semuanya dalam keadaan baik. 

Kegembiraan berganda ini turut dititipkan doa buat dan hadiahkan kepada arwah bapa beliau iaitu  Haji Sagimin Depoh dan ibunda tercinta Hajah Tukiam Mat Rejo atas kejayaan menamatkan pengajian ini.

“Tidak lupa juga kepada isteri yang banyak memberi dorongan sepanjang dalam pengajian ini,” katanya.

Pada Majlis Konvokesyen UMP Ke-16 ini juga menyaksikan tiga graduan yang sarat mengandung turut tidak melepaskan peluang hadir bagi meraikan kejayaan bersama keluarga.

Antara graduan yang mengandung itu ialah Zulaikha Zolkply@Zulkifli yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Teknologi Bahan, Nur Aishah Khairun, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dan Nurul Hidayah Ghazali, Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Teknologi Bahan. 

Raikan kegembiraan berganda, graduan lalui detik cemas isteri sakit bersalin 

Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris